Kaki terperosok pada jeriji besi penutup longkang

Anggota bomba sedang mengeluarkan kaki mangsa yang terperosok pada jeriji besi penutup longkang di hadapan sebuah pasaraya di Ayer Keroh, di sini, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba sedang mengeluarkan kaki mangsa yang terperosok pada jeriji besi penutup longkang di hadapan sebuah pasaraya di Ayer Keroh, di sini, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

MELAKA - Sepasukan anggota bomba terpaksa dipanggil bagi membantu mengeluarkan kaki seorang lelaki yang tersekat pada jeriji besi penutup longkang di hadapan sebuah pasaraya di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.50 petang tadi ketika lelaki terbabit, T Thieveanthiran, 22, sedang berjalan kaki di hadapan pasaraya berkenaan dan tanpa disedari kaki kirinya telah terperosok antara jeriji penutup longkang sehingga ke paras lutut.

Setelah beberapa kali cuba mengeluarkan kakinya sendiri gagal, akhirnya orang ramai terpaksa menghubungi pihak bomba untuk mengeluarkannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Penolong Penguasa Bomba Mohd Hamdan Sudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menyelamat khas, pada jam 1.53 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota termasuk pegawai di kejarkan ke lokasi kejadian.

"Tiga minit kemudian, kami tiba di lokasi dan mendapati seorang lelaki tersepit kaki kiri antara jeriji besi penutup longkang.

"Kami terpaksa menggunakan peralatan Hidraulik Cutter Spreader untuk meregangkan besi tersebut dan lima minit kemudian, kaki mangsa berjaya dikeluarkan, mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan hanya melecet pada kaki," katanya ketika dihubungi.

Mohd Hamdan berkata, besi penutup longkang terbabit dipercayai jenis besi yang lembut dan boleh regang.

Justeru, beliau menasihati orang ramai, supaya lebih berhati-hati ketika melangkah kerana setiap besi penutup longkang yang digunakan tidak mempunyai kualiti sama.

Artikel Berkaitan: