Lelaki miliki 27 rekod jenayah dicekup

No Image Caption
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang lelaki yang mempunyai 27 jenayah lampau sejak tahun 1992 termasuk rekod buang daerah sebanyak dua kali masih tidak serik apabila dicekup sepasukan polis di Jalan Fakeh, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, suspek berusia 47 tahun dicekup selepas cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis kira-kira jam 6 petang.

Bagaimanapun, katanya, suspek memecut motosikal ditunggang sehingga ke kawasan kebun kelapa sawit.

"Tindakan suspek menunggang motosikal secara berbahaya membawa padah apabila suspek gagal mengawal motosikal hingga menyebabkannya terbabas berhampiran kebun kelapa sawit berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini pada Isnin.

Agus Salim berkata, polis yang berada berhampiran tempat kejadian kemudian menahan suspek.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut pada motosikal ditunggang suspek mendapati kenderaan terbabit dicuri suspek di Kampung Batu 37 Darat pada 24 Ogos lalu.

Menurut beliau, penahanan suspek membawa kepada pembongkaran kegiatan kes curi motosikal dan pecah rumah yang dilakukan suspek sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, hasil semakan polis mendapati suspek yang masih bujang terlibat dalam 13 kegiatan jenayah sepanjang tahun ini.

"Suspek yang sebelum ini bekerja di sebuah kedai cuci kereta di daerah ini mempunyai sebanyak 11 kes pecah rumah dan dua kes curi motosikal sejak Januari lalu.

"Modus operandi suspek melakukan jenayah dengan melalui pintu depan atau belakang pada waktu malam selain tidak memakai sebarang alas kasut atau selipar semasa melakukan aktiviti tersebut.

"Lebih pelik, selesai sahaja mencuri barang berharga, suspek akan makan atau minum di dalam rumah sebelum melarikan diri," kata Agus Salim.

Beliau memberitahu, polis percaya penahanan suspek berjaya menyelesaikan kegiatan jenayah dilakukan sekitar daerah berkenaan.

"Antara barang dirampas dua motosikal jenis Yamaha Y15 dan Yamaha Lagenda serta beberapa peralatan mencuri.

"Suspek direman selama empat hari bermula Sabtu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, polis sedang mencari seorang individu yang disyaki terlibat dalam dua kes pecah rumah dan curi motosikal yang berlaku di sekitar Sabak Bernam.

Menurut Agus Salim, kegiatan itu dikesan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di kawasan terbabit.