Mural identiti Kuala Pilah tarikan baharu

Mohd Faizal (kanan) bersama Zorro ketika meninjau mural berkenaan di Hentian Kuala Pilah pada Sabtu.
Mohd Faizal (kanan) bersama Zorro ketika meninjau mural berkenaan di Hentian Kuala Pilah pada Sabtu.
A
A
A

KUALA PILAH - Lukisan mural di tembok sepanjang 72.5 meter yang memaparkan imej dan identiti daerah ini di Hentian Kuala Pilah yang sedang disiapkan bakal menjadi tarikan pelancongan baharu di sini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP), Mohd Faizal Abdul Manap berkata, projek mural ini dilaksanakan bermula 20 Ogos lepas dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

"Projek ini diberi nama Singgah Seni Kuala Pilah dengan konsep 'This is Pilah Lifestyle' yang menampilkan norma kehidupan masyarakat dan produk-produk di daerah Kuala Pilah, setiap mural yang dilukis mempunyai penceritaan dan keunikan tempat-tempat itu tersendiri.

"Ia di bawah kelolaan pentadbiran MDKP dan objektif utama mural berkenaan adalah untuk mencantikkan infrastruktur yang terdapat di Kuala Pilah seperti di hentian itu yang sebelum ini kelihatan usang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.

Katanya, dalam masa sama menjadikan ia sebagai tarikan pelancong selain menggunakan ruang yang kosong secara optimum di daerah Kuala Pilah sambil menyediakan fasiliti yang baik untuk warga Kuala Pilah.

Lukisan mural pada tembok di Hentian Kuala Pilah sedang disiapkan.
Lukisan mural pada tembok di Hentian Kuala Pilah sedang disiapkan.

"Ia menjadi projek rintis di daerah ini dan akan diperluaskan ke kawasan lain seperti lorong bangunan lama dan lain-lain. Tembok di sini yang panjang sesuai untuk orang awam bergambar.

"Lukisan mural ini diketuai oleh pelukis, Zakir Amir Mohd Derus atau dikenali sebagai Zorro dan Nazarsham Mat Isa.

Artikel Berkaitan:

"Zorro mempunyai pengalaman luas dalam bidang lukisan jalanan, beliau merupakan anak tempatan dan ahli Persatuan Seni Negeri Sembilan," katanya.

Sinar Harian difahamkan Zakir terbabit dalam pelbagai aktiviti kesenian seperti melukis mural di sekitar Seremban selain mempunyai pengalaman menyertai pameran seni bermula dari 1998 hingga kini.

Antara pameran seni beliau seperti Royal Exhibition of Seri Menanti (2009) dan Expresi Anak Seni Negeri Sembilan pada 2019.