NGO minta kerajaan serius perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta melaksanakan 115 inisiatif yang digariskan oleh Pelan Antirasuah Negara bagi memastikan masalah rasuah di negara ini diatasi sepenuhnya.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelan tersebut merupakan pelan terbaik dunia yang diguna pakai oleh beberapa negara yang berjaya mengatasi masalah rasuah.

“Kita sudah mempunyai pelan yang terbaik tetapi masalahnya kita tiada iltizam politik untuk melaksanakan kesemua itu terutamanya melibatkan penambahbaikan sistem politik di Malaysia.

“Jadi kemahuan kerajaan dalam melaksanakannya sudah mencukupi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas dan mengatasi masalah defisit integriti politik yang sedang berlaku dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah beliau, kerajaan juga perlu memberi fokus kepada usaha untuk mengatasi masalah rakyat terutama penularan pandemik Covid-19, kemelut politik, ekonomi dan krisis integriti.

“Perdana Menteri khususnya perlu melakukan dua perkara iaitu mengintegritikan ahli politik negara dengan memperkenalkan etika khas menteri dan ahli kabinet.

“Seterusnya, kerajaan perlu memperkasakan agenda anti rasuah negara kerana rakyat masih tertunggu apakah tindakan yang dilakukan oleh mereka untuk meningkatkan status martabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang benar-benar bebas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 Jais
Jais

Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Dr Sabariah Baharun berkata, kerajaan perlu membuka mata dan melakukan perubahan terhadap mekanisme yang jelas dalam membanteras jenayah rasuah.

Katanya, mekanisme tersebut jelas menunjukkan pelaksanaan undang-undang dua darjat terhadap pesalah rasuah sehinggakan kesalahan rasuah yang besar dibiar sepi tetapi kesalahan yang kecil dijatuhkan hukuman dengan segera.

“Sebagai contoh kes sekarang ini pun seperti 1MDB, undang-undang itu ada tetapi ia tidak dilaksanakan.

“Malah sebaliknya golongan pesalah rasuah ikan bilis ini didakwa tetapi orang yang berkepentingan tidak didakwa. Sudahlah ditangkap akibat merasuah tetapi gunakan rasuah untuk melepaskan diri.

“Jadinya, penguat kuasa dalam kerajaan perlu ada integriti dan kompeten untuk mengubah kredibiliti undang-undang sedia ada supaya lebih telus,” katanya.

Sabariah berkata, ketua kerajaan perlu mempunyai kepimpinan yang berintegriti supaya rakyat lebih mempercayai dan menjadi ikutan kepada mereka.

“Kalau kita imbas kembali pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, jatuhnya kerajaan ketika itu disebabkan rakyat bangkit untuk lepaskan golongan kleptorat tersebut.

“Jadi bagi saya kepimpinan di atas itu, mengambil berat akan kes rasuah ini. Kalau pimpinan ini melakukan rasuah, mereka akan bertukar.

“Jadi, kita boleh lihat rakyat ke arah perubahan yang perlu semua kepimpinan kerajaan bebas rasuah kerana ia akan meruntuhkan ekonomi dan kesejahteraan negara,” ujarnya.