Polis gempur pusat hiburan, 13 positif dadah

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak menggempur sebuah pusat hiburan dan menahan 24 individu termasuk dua wanita warganegara China di Bandar Baru Medan Ipoh di sini pada Ahad.

Operasi yang dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh sekitar jam 1 pagi itu mendapati 13 daripada individu yang ditahan adalah positif dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 12 lelaki dan seorang wanita warga China itu positif dadah jenis ketamin, methamphetamin dan amphetamin.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dua warga China terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Selain itu, 22 warga tempatan turut dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dengan nilai keseluruhan sebanyak RM150,000," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, polis memberi ingatan tegas kepada semua pemilik pusat hiburan supaya dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Aktiviti pusat hiburan tidak dibenarkan beroperadi di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Dengan adanya operasi seperti ini, diharap dapat mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap ancaman penagihan serta pengedaran dadah di kawasan setempat dan jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: