Lelaki ditahan, dadah bernilai RM19,450 dirampas

Sebahagian daripada dadah yang dirampas oleh Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa selepas menahan seorang lelaki di kawasan pangkalan haram Setor Kayu Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Sabtu.
Sebahagian daripada dadah yang dirampas oleh Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa selepas menahan seorang lelaki di kawasan pangkalan haram Setor Kayu Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penahanan seorang lelaki oleh Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa membawa kepada rampasan dua jenis dadah iaitu pil kuda dan erimin 5 bernilai RM19,450 pada Sabtu.

Suspek berusia 28 tahun itu dicekup PGA di kawasan pangkalan haram Setor Kayu Nibong, Pengkalan Kubor, Tumpat pada jam 6 petang.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, semasa rondaan dilakukan pihaknya ternampak sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

"Anggota telah bertindak menahan lelaki berkenaan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan lanjut telah menjumpai beg plastik mengandungi 1,198 biji pil kuda," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan pil erimin 5 berjumlah 500 biji.

Beliau berkata, PGA turut merampas sejumlah wang tunai bernilai RM5,000 hasil jualan dadah selepas berjaya menahan suspek.

Mat Shukor berkata, siasatan awal mendapati bahan larangan itu diseludup masuk ke negara ini secara haram dari Thailand menggunakan laluan tidak diwartakan.

Artikel Berkaitan:

"PGA percaya dadah-dadah yang dibawa masuk itu untuk pasaran tempatan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mat Shukor berkata, keseluruhan rampasan dadah dan wang tunai serta kereta dianggarkan RM44,480.

"Kesemua rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan dan siasatan lanjut.

"PGA akan terus memperketatkan lagi kawalan sempadan dengan memantau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor, Tumpat dalam usaha membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan," katanya.