Perak disaran buka PPV di setiap DUN

Proses vaksinasi perlu diluaskan ke pedalaman-pedalaman atau mereka yang tidak mempunyai akses jalur lebar. - Foto Bernama
Proses vaksinasi perlu diluaskan ke pedalaman-pedalaman atau mereka yang tidak mempunyai akses jalur lebar. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perak disarankan agar membuka pusat pemberian vaksin (PPV) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mempercepatkan imuniti kelompok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, imuniti kelompok boleh dicapai sekiranya kerajaan negeri menerusi Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dapat melibatkan wakil-wakil rakyat.

"Sesuai dengan titah diraja semasa perasmian Sidang DUN baru-baru ini yang mana proses vaksinasi ini perlu diluaskan ke pedalaman-pedalaman atau mereka yang tidak mempunyai akses jalur lebar.

"Exco Kesihatan Perak (Mohd Akmal Kamaruddin) perlu melibatkan semua wakil-wakil rakyat secara langsung dalam menjayakan imuniti kelompok khususnya di pedalaman dan kampung-kampung," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Pada masa sama, Mohammad Nizar berkata, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad wajar menilai kembali peranan exco terbabit agar lebih terkehadapan sebagai sebahagian pentadbiran negeri dari segi penyampaian maklumat dan data terkini jangkitan Covid-19 di negeri itu.

"Risalah ringkas mengenai keperluan vaksinasi perlu dibekalkan ke pusat khidmat wakil-wakil rakyat. Pusat Khidmat ADUN-ADUN yang merupakan entiti sangat rapat dengan rakyat.

"Wakil-wakil rakyat boleh bekerjasama dengan JKN dengan menyalurkan maklumat keperluan vaksinasi. Masih terdapat aduan daripada penduduk kampung yang tidak dipanggil walaupun telah lama berdaftar dengan MySejahtera," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyifatkan Mohd Akmal dilihat sekadar 'tangkap muat' sedangkan kes positif meningkat sehingga mencecah empat angka setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai keutamaan, wakil-wakil rakyat perlu dilibatkan dalam proses vaksinasi pelajar-pelajar sekolah supaya dapat melancarkan proses pembukaan persekolahan," katanya.