Jakim terlibat tubuh fatwa vaksin kanak-kanak

Fuziah merakamkan gambar kenangan bersama pelajar sekolah dan mahasiswa KPTM pada Program Moh Sambung Belajar di KPTM Kuantan di sini, hari ini.
Fuziah merakamkan gambar kenangan bersama pelajar sekolah dan mahasiswa KPTM pada Program Moh Sambung Belajar di KPTM Kuantan di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terlibat dalam menubuhkan fatwa berkenaan suntikan vaksin imunisasi kanak-kanak yang menjadi isu hangat di kalangan ibu bapa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, suntikan ini menjadi persoalan hebat kepada ibu bapa kerana elemen di dalam vaksin tersebut didakwa tidak halal.

Menurutnya, JAKIM sedaya upaya memberi input daripada segi fatwa dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mewajibkan vaksin ini kepada kanak-kanak.

"Kita akui jika ibu bapa tak setuju, itu hak mereka tetapi kita (ibu bapa) kena berpandangan jauh kerana anak itu tidak akan terlindung daripada penyakit dan boleh merebak kepada orang lain.

"Sebagai kerajaan, kita kena fikir lebih meluas terhadap masyarakat ummah dan kita mahu wujudkan keadaan masyarakat yang menghormati hak orang lain.

"Itulah yang kita perlu lihat dari segi fatwa hak asasi manusia... akhirnya barulah kita boleh mendapat sokongan majoriti daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Moh Sambung Belajar di Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Kuantan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, Akta Kebencian Agama dan Kaum bagi menyekat budaya mencaci dan memaki agama yang ada di negara ini tidak akan dibentang di Parlimen pada Mac ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ini kerana akta tersebut masih dalam proses penelitian daripada pelbagai pihak dan kementerian yang terlibat untuk penambahbaikan akta itu. "Mungkin paling awal bulan Jun kerana penelitian harus dibuat.

"Seperti Akta Berita Tidak Benar dulu yang telah menjadi satu akta yang longgar... kita tahu begitu dan kita akan pastikan akta yang kita buat betul-betul telah dikaji," katanya.

Tambahnya, pindaan akta yang bakal dibawa ke Parlimen bulan Mac ini adalah pindaan ketiga undang undang tahfiz dan profession guaman syairie.