KDA FC tumpu aksi menentang KL City

Aidil Shahrin mahu anak-anak buahnya fokus kepada baki saingan Liga Super 2021 untuk menambah lagi jumlah bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga setakat ini selepas 18 perlawanan. FOTO: KEDAH DARUL AMAN FC
Aidil Shahrin mahu anak-anak buahnya fokus kepada baki saingan Liga Super 2021 untuk menambah lagi jumlah bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga setakat ini selepas 18 perlawanan. FOTO: KEDAH DARUL AMAN FC
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC mahu memberikan tumpuan kepada aksi menentang Sri Pahang FC dan KL City FC terlebih dahulu berbanding kedudukan kedua Liga Super 2021 yang kini menjadi perebutan bersama Terengganu FC.

Tumpuan kini tertumpu kepada kedudukan kedua liga pula selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) lebih awal mengesahkan kejuaraan kelapan berturut-turut mereka dalam saingan Liga Super tahun ini selepas menewaskan Sri Pahang FC 3-0 pada Jumaat.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, walaupun pasukannya mempunyai baki satu perlawanan tertunda berbanding TFC, beliau mahu anak-anak buahnya lebih memberikan tumpuan dan meneruskan momentum kemenangan pada baki saingan Liga Super.

Menurutnya, sebarang kemungkinan boleh terjadi pada beberapa perlawanan akan datang berikutan semua pasukan sedang bergelut mengharungi cabaran untuk mengekalkan momentum masing-masing disebabkan oleh jadual perlawanan yang cukup padat.

"Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada JDT FC kerana telah mengesahkan kejuaraan Liga Super 2021. Bagi kedudukan kedua, saya enggan memberikan tumpuan kerana masih ada beberapa lagi pasukan yang juga mahu merebutnya selain KDA FC.

"Kami tunggu selepas aksi menentang KL City, selepas itu mungkin kita boleh lihat di mana kedudukan KDA FC dan pasukan lain seperti TFC. Kami berharap dapat menambah lagi mata manakala pesaing-pesaing lain mungkin keciciran mata namun situasinya kita tidak tahu kerana ada lagi beberapa perlawanan lagi," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada Sabtu.

KDA FC kini menaiki ke tangga kedua Liga Super dengan memungut 38 mata selepas menang tipis 1-0 ke atas Perak FC pada aksi ke-18 pada Sabtu iaitu kelebihan satu mata berbanding TFC di tangga ketiga dengan 37 mata yang telah mengharungi 19 perlawanan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Aidil Shahrin masih berbaki satu perlawanan berbanding TFC manakala Penang FC di tangga ketiga dengan 34 mata selepas 19 perlawanan dan Selangor FC pula di tangga keempat dengan 33 mata selepas 20 perlawanan dilihat semakin tipis untuk merebut kedudukan kedua liga pada musim ini.

Artikel Berkaitan:

Aksi seterusnya KDA FC adalah bertemu Sri Pahang FC di Kuantan pada 1 September sebelum berlepas ke ibu negara untuk menentang KL City FC pada 4 September.

Baki dua perlawanan terakhir pula adalah dengan menentang UiTM FC (8 September) dan Melaka United FC (12 September) dan kedua-dua perlawanan ini beraksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar.