Sains hantar lori tangki air ke Terengganu

Sains menghantar sebuah lori tangki ke Terengganu pada Jumaat bagi membantu Satu. - Foto Facebook Sains
Sains menghantar sebuah lori tangki ke Terengganu pada Jumaat bagi membantu Satu. - Foto Facebook Sains
A
A
A

SEREMBAN - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) sekali lagi menghantar sebuah lori tangki berkapasiti 1,200 gelen serta dua kakitangannya ke Terengganu pada Jumaat bagi membantu Syarikat Air Terengganu (Satu).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan itu dihulurkan berikutan paip 'pumping' 1,200 milimeter (mm) di dasar Sungai Terengganu pecah semula menyebabkan penutupan penuh operasi di Loji Rawatan Air (LRA) Kepong 2.

"Penutupan tersebut mengakibatkan gangguan bekalan air kepada lebih 28,700 akaun pengguna di sebahagian besar daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

"Semoga usaha Sains ini dapat membantu Satu meringankan beban pengguna di kawasan terjejas terutama dalam situasi pandemik Covid-19 yang mencabar ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Aminuddin turut berharap agar LRA Kepong 2 dapat dibaiki dengan segera dan bekalan air kembali dipulihkan buat para pengguna terjejas.

Pada Ogos lalu, Sains turut menghantar sebuah lori tangki berkapasiti 1,200 gelen bagi membantu Satu yang menghadapi masalah gangguan bekalan air di Kuala Nerus.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, dua kakitangan dan sebuah lori tangki bergerak ke Terengganu pada Khamis bagi membantu syarikat tersebut membuat pengagihan bekalan air.

Artikel Berkaitan: