'Tiada lagi nama kerajaan PN tetapi kerajaan Malaysia'

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan dengan beberapa panduan utama selepas perbincangan dan dipersetujui bersama Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara panduan itu adalah kerajaan perlu terus menggunakan jenama Keluarga Malaysia dan Kerajaan Malaysia dengan tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional.

“Ini kerana kerajaan yang dibentuk ketika ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS; Parti Perikatan Nasional (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan STAR); Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat MKT UMNO yang turut dihadiri Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Yaakob di Menara Dato Onn di sini pada Jumaat.

Katanya, beberapa perkara lain yang dicapai mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam itu adalah UMNO menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

“Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC).

“Ia termasuk moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, MKT turut menetapkan parti itu mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan.

“Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, parti itu turut menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.