X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 26 Januari 2022

KBS ada peranan penting kukuh 'Keluarga Malaysia'

Ahmad Faizal Azumu
A
A

IPOH - Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang diterajuinya mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkukuh 'Keluarga Malaysia' yang dihasratkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kebangkitan semula negara.

"Pengalaman panjang saya bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia merupakan nadi kepada negara.

"Saya yakin, kementerian ini mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif 'Keluarga Malaysia' yang dihasratkan oleh Perdana Menteri," katanya menerusi akaun Facebook miliknya pada Jumaat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan kepercayaan diberikan Ismail Sabri kepadanya untuk memberi khidmat bakti melalui Kementerian Belia dan Sukan.

Ahmad Faizal berkata, bagi melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, beliau telah meletakkan diri dalam keadaan bersedia dan akan patuh kepada arahan-arahan diberikan dari masa ke masa.

"Saya amat berbesar hati berpeluang untuk memberi khidmat kepada seluruh warga belia Malaysia.

"Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia," katanya.

Ahmad Faizal, 51, yang juga bekas Menteri Besar Perak merupakan muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai kabinet baharu sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri dalam kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!