Tiga calon selesai mengundi pagi ini

Muhammad Aiman. Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhammad Aiman. Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Tiga calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, antara yang terawal mengundi pada PRK itu yang berlangsung hari ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Husain, Kampung Baru Semenyih manakala calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi mengundi di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sesapan Kelubi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq Abdul mengundi di Dewan Orang Ramai Semenyih.

Pengundian bagi PRK Semenyih bermula 8 pagi ini dan dijangka berakhir 5.30 petang.

Sebanyak 24 pusat mengundi membabitkan 116 saluran dibuka bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat baharu.

Nik Aziz Afiq - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI
Nik Aziz Afiq - Foto Sinar Harian oleh ZAHID IZZANI

Sejumlah 53,411 pengundi biasa layak berbuat demikian dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mewakili Pakatan Harapan (PH), pada 11 Januari lepas.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Muhammad Aiman, Zakaria, Nik Aziz Afiq dan calon Bebas, Kuan Chee Heng.

DUN Semenyih mempunyai 53,520 pemilih biasa namun 109 telah mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK itu diadakan Selasa lepas.

Artikel Berkaitan:

Zakaria Hanafi bersama isterinya, Katijah Beebi Bayikhan. Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Zakaria Hanafi bersama isterinya, Katijah Beebi Bayikhan. Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Muhammad Aiman yang tiba di pusat mengundi tepat pukul 8 pagi dan selesai mengundi pada pukul 8.25 pagi berkata beliau berharap perjalanan proses mengundi hari ini berjalan lancar.

"Alhamdulillah, pagi ini semuanya baik-baik, kita harap pengundi membuat pilihan bijak kerana mereka menentukan nasib Semenyih," katanya yang tiba dengan ditemani isteri Nurul Filzah Bakhtiar.

Zakaria pula memuji sikap pengundi yang begitu bersemangat keluar mengundi seawal pagi bagi melaksanakan tanggungjawab dalam sebuah negara demokrasi.

“Sambutan pengundi di Dewan JKKK Kampung Sesapan Kelubi begitu baik, mereka sudah berada di sini seawal pagi lagi,” katanya.

Sementara itu, Nik Aziz Afiq ketika ditemui berkata beliau bimbangkan kehadiran pengundi yang kurang. -Bernama