Selepas tular, 112 individu derma darah untuk HRPB

Bekalan semua kumpulan darah di HRPBmasih rendah meskipun menerima sumbangan yang menggalakkan selepas tular isu kekurangan bekalan darah di hospital itu yang berada pada tahap membimbangkan sejak semalam. - Foto Hospital Raja Permaisuri Bainun
Bekalan semua kumpulan darah di HRPBmasih rendah meskipun menerima sumbangan yang menggalakkan selepas tular isu kekurangan bekalan darah di hospital itu yang berada pada tahap membimbangkan sejak semalam. - Foto Hospital Raja Permaisuri Bainun
A
A
A

IPOH - Bekalan semua kumpulan darah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) masih rendah meskipun menerima sumbangan yang menggalakkan selepas tular isu kekurangan bekalan darah di hospital itu yang berada pada tahap membimbangkan sejak semalam.

Penolong Pegawai Penerangan Jabatan Perubatan Transfusi HRPB, Khairul Anuar Mohd Nor berkata, setakat 3 petang tadi, seramai 112 orang telah menderma darah untuk hospital itu yang diadakan di ruang legar pusat beli-belah Aeon Mall Kinta City dan Aeon Mall Station 18 serta tampil ke Bilik Derma Darah HRPB.

“Realitinya memang Tabung Darah HRPB kini kekurangan bekalan darah yang amat membimbangkan tetapi sambutan daripada penderma darah hari ini agak baik, mungkin disebabkan tular semalam,” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata, boleh dikatakan bekalan kesemua kumpulan darah adalah berkurangan dan perlu ditingkatkan segera demi menyelamatkan nyawa pesakit yang menjalani pembedahan, ibu bersalin selain mangsa kemalangan yang kekurangan darah dalam badan.

Beliau memberitahu, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada warga Perak yang telah menderma darah dan memohon lebih ramai tampil berbuat demikian di lokasi-lokasi disediakan.

Semalam, tular gambar poster bendera putih memohon bantuan warga Perak untuk menderma darah dengan segera susulan HRPB mengalami kekurangan bekalan darah yang kritikal.

Orang ramai boleh merujuk jadual dan lokasi kempen derma darah melalui laman sosial Facebook Derma Darah Ipoh manakala Unit Pendermaan Darah HRPB pula beroperasi pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. - Bernama

Artikel Berkaitan: