Tiga bekas menteri buat 'come back' anggotai kabinet Ismail Sabri

Dari kiri: Shahidan Kassim, Noh Omar, Mahdzir Khalid.
Dari kiri: Shahidan Kassim, Noh Omar, Mahdzir Khalid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad merupakan muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri ketika mengumumkan barisan kabinetnya hari ini berkata, Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Idris yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Selain itu, anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahadzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Perdana menteri hari ini mengumumkan senarai barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

Idris Ahmad dan Faizal Azumu
Idris Ahmad dan Faizal Azumu

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Zawawi Salleh yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II serta Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaludin Alias yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan juga merupakan pertama kali membarisi pentadbiran kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Empat bekas menteri yang sebelum ini berada dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) tidak dinamakan semula.

Mereka ialah Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Md Redzuan Md Yusof yang sebelum ini merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang sebelum ini menerajui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Turut tidak membarisi semula kabinet ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus dari Pas Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi dan Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang sebelum ini memegang fortfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Timbalan Menteri yang tidak dilantik semula pula ialah Datuk Abdul Rahim Bakeri yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Dr Jefrrey Kitingan (Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan), Datuk Seri Tiong King Sing (Timbalan Menteri Perpaduan Negara) dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II). - Bernama