SPAN 2.0 untuk perkhidmatan awam dilancarkan

Mohd Khairul Adib. - Foto Bernama
Mohd Khairul Adib. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN) 2.0 dilancarkan hari ini bagi meningkatkan tahap pengamalan nilai dan integriti pada peringkat individu dan organisasi awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, SPAN 2.0 itu adalah penambahbaikan SPAN terdahulu yang dibangunkan pada 2007, yang menetapkan semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan melaksanakan pengurusan amalan nilai secara holistik.

“SPAN 2.0 menumpukan pada tiga komponen utama iaitu pengurusan program nilai, pengauditan nilai dan intervensi, serta mempunyai lima domain pengukuran iaitu rekod amalan nilai, nilai ideal, nilai peribadi, nilai organisasi dan maklum balas pelanggan, bagi mengukur tahap pengamalan nilai perkhidmatan awam,” katanya.

Berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang disiarkan secara maya hari ini, Mohd Khairul Adib meminta penjawat awam terus memastikan kestabilan negara tetap utuh melalui pentadbiran kerajaan yang teguh berpandukan Rukun Negara meskipun berdepan Covid-19.

Beliau berkata pandemik Covid-19 telah menimbulkan ketidaktentuan dalam setiap aspek kehidupan harian dan perubahan yang berlaku menuntut penjawat awam mengamalkan normal baharu dalam kehidupan.

“Peperangan melawan pandemik ini telah menyebabkan tekanan, ketidakstabilan emosi, kelelahan pandemik dan sebagainya, yang kadang kala melemahkan kita.

“Kita perlu segera bangkit, saling berpaut, bersatu hati, bertahan dan terus berjuang. Kita perlulah mempunyai ketahanan dalam menghadapi situasi ini,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khairul Adib menyeru penjawat awam mengukuhkan kekuatan dalaman dan segera beradaptasi terhadap norma baharu dalam kehidupan serta pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Adaptasi yang diambil akan mampu menjadi perisai kepada kita untuk menghadapi tekanan, kebimbangan dan memperkasa daya tindak diri. Kita sebagai penjawat awam mestilah terbuka dalam menerima teguran yang membina untuk kebaikan bersama,” katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan awam juga hendaklah memiliki ciri-ciri organisasi yang berdaya tahan, agar mampu meramal, mempersiapkan diri untuk bertindak balas, serta menyesuaikan diri dengan mempelbagaikan kaedah penyampaian perkhidmatan demi melaksanakan amanah yang digalas. -Bernama