Peguam Clare sahkan nombor akaun bukan palsu

Americk Sidhu
Americk Sidhu
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Editor Sarawak Report, Americk Sidhu menafikan dakwaan nombor akaun tertera pada cek berjumlah RM1.4 juta yang dibayar oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada Clare Rewcastle Brown adalah palsu.

Katanya, ia sesuatu yang mustahil kerana wang tersebut telah masuk ke akaun anak guamnya.

"Saya boleh sahkan cek ini sudah dijelaskan melalui akaun anak guam saya dan dengan kata lain ia bermakna cek asli," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Clare sahkan terima bayaran RM1.4j daripada Hadi

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan semalam mendakwa gambar cek dan nombor akaun yang viral sejak kelmarin tidak wujud.

Menerusi hantaran di Facebook, ia digunakan bertujuan untuk memfitnah parti itu.

Ketika diminta untuk menunjukkan bukti selain apa yang telah dipaparkan menerusi artikel Clare, Americk berkata, apa yang tunjukkan oleh anak guamnya sudah jelas.

"Saya rasa Clare telah terbitkan menerusi artikelnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bayaran RM1.4 juta yang diterima Clare dilakukan Abdul Hadi selepas menarik balik tindakan saman di Mahkamah London.

Beliau mendakwa, bayaran itu dibuat untuk menarik balik tuntutan atau anak guamnya tidak akan bersetuju.

"Apa yang saya tahu ialah, Clare dibayar pampasan bagi bayaran guaman yang dibelanjakannya bagi mempertahankan diri dalam kes saman Abdul Hadi di London apabila beliau memutuskan untuk tarik balik (tindakan saman).

"Ia (bayaran) bukan atas arahan mahkamah sebaliknya diluar mahkamah," katanya.

Clare semalam mengesahkan menerima bayaran berjumlah RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah sebelum ini.

Jelasnya, ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden Pas itu membayar kos yang sudah dibuat kepada Americk selaku pihak ketiga mewakili portal itu.