RM1.8 juta pampasan dibayar libat kemalangan pergi balik kerja

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM1.8 juta bayaran pampasan bagi kemalangan semasa berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, perjalanan pekerjaan rasmi dan dalam waktu rehat dibenarkan sudah dibayar oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu pada tahun lepas.

Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, jumlah pampasan tersebut melibatkan 690 kes kemalangan yang diuruskan oleh tiga pejabat Perkeso di Negeri Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kemaman dan Dungun.

Menurutnya, bagi tahun ini pula sebanyak RM182,601 pampasan sudah dibayar kepada pencarum yang layak bagi tempoh dua bulan pertama iaitu Januari dan Februari.

"Pampasan ini melibatkan seramai 136 pencarum yang terlibat dalam kemalangan semasa pergi dan pulang dari tempat kerja masing-masing di seluruh Terengganu," katanya di sini pada Khamis.

Farihah (dua dari kanan) menerangkan mengenai caruman Perkeso kepada orang ramai.
Farihah (dua dari kanan) menerangkan mengenai caruman Perkeso kepada orang ramai.

Farihah berkata, Perkeso memandang serius isu melibatkan keselamatan pekerja dan pihaknya banyak melaksanakan program advokasi bersama majikan.

Katanya, sebanyak 20 majikan di negeri ini dikenal pasti mempunyai kadar kemalangan tertinggi akan terlibat dalam program advokasi pada tahun ini.

"Majikan ini melibatkan sektor perkilangan, perubatan, pembinaan, pendidikan dan perladangan.

"Kita berjumpa dengan pengurusan tertinggi semasa program ops cegah supaya mereka sedar akan perkara ini dan laksana kempen kesedaran keselamatan di tempat kerja dan jalan raya.

"Mereka diberi tempoh enam bulan dan kita akan semak balik selepas itu sama ada kadar kemalangan melibatkan kakitangan mereka berkurangan atau sebaliknya," katanya.