Stuart akui terima pelantikan CEO MFL kerana gemarkan cabaran

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mengakui sikapnya yang gemarkan ‘cabaran’ menjadi faktor utama yang mendorongnya menerima pelantikan badan pentadbir liga bola sepak negara atau Liga Malaysia (Liga-M), baru-baru ini.

Malah, Stuart turut yakin dengan pengalamannya selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sejak tiga tahun lalu dapat dimanfaatkannya bersama MFL khususnya ke arah pembangunan sukan bola sepak di negara ini.

“Saya rasakan cabaran di MFL ialah ke mana arah fundamental (asas) industri bola sepak akan pergi; saya seorang yang amat meminati bola sepak, saya makan, bernafas dan tidur dengan bola sepak, dan saya juga seorang yang mencintai Malaysia.

“Selain itu, saya juga seorang yang sukakan cabaran dan saya bangga dengan apa yang telah dilakukan ketika berkhidmat di FAM sebelum ini dimana kredit kepada semua pihak kelab yang berjaya harungi saingan liga walaupun dalam pandemik dan pastikan FAM terus hidup sebagai sebuah organisasi bola sepak negara yang stabil.

“Oleh itu dengan pengalaman yang saya miliki ketika berada di FAM selama tiga tahun akan saya manfaatkan pula di MFL dalam usaha membawa perubahan kepada bola sepak Malaysia pada masa akan datang,” katanya pada sidang media atas talian pada Rabu.

Pada Isnin, Stuart yang menjalankan tugas selaku Setiausaha Agung FAM sejak Julai 2018, dilantik selaku CEO baharu MFL mengantikan Datuk Ab Ghani Hassan yang dilantik selaku Presiden MFL setelah Datuk Hamidin Mohd Amin mengumumkan perletakan jawatannya pada 12 Ogos.

Tambah Stuart, dia berbangga dengan apa yang telah dilakukannya ketika berkhidmat di FAM, terutamanya terhadap usaha meneruskan kelancaran pentadbiran badan induk bola sepak negara itu pada ketika pandemik Covid-19.

“Bagi saya, kredit juga perlu diberikan kepada semua plihak terutamanya kepada semua kelab yang telah berjaya mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), samada daripada Liga Super atau Liga Premier dalam pandemik ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya sahut cabaran ini kerana saya tahu saya boleh, dan saya akan bawakan beberapa perubahan dalam masa terdekat, dan berharap ia akan berlangsung dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Stuart enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan yang mengatakan pelantikannya selaku CEO MFL berkait rapat dengan abangnya yang juga bekas CEO MFL sebelum ini.

Malah katanya, biarpun adik-beradik, namun kedua-dua mereka adalah individu yang berbeza terutamanya terhadap usaha-usaha yang dilakukan dalam industri bola sepak negara setakat ini.

“Apa yang beliau telah lakukan untuk mewujudkan MFL, untuk mengadakan produk yang sedia ini sekarang ini, saya tidak mungkin dapat lakukannya, jadi itu semuanya dia, untuk menukarkan bola sepak berasaskan persatuan bola sepak kepada sebuah entiti persendirian seperti MFL.

“Saya menghargai semua kerja-kerja yang telah dilakukannya ketika di MFL kerana saya mungkin tidak dapat melakukannya.

“Cuma, mungkin saya boleh meneruskan segala kerja-kerja berkenaan dengan menjadikannya lebih maju ke hadapan,” katanya.