Masa untuk kembali gerakkan kembali ekonomi

Kedai pakaian di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman kembali dibuka selepas dibenarkan beroperasi. - Foto Bernama
Kedai pakaian di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman kembali dibuka selepas dibenarkan beroperasi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memandangkan keadaan ketidakstabilan politik negara telah mereda dan kadar vaksinasi terus meningkat, tumpuan utama kini adalah untuk menggerakkan kembali ekonomi dan membuka semula lebih banyak sektor bagi memastikan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal bertahan.

Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata, inisiatif pemberian bantuan pembayaran sekali kepada PKS mungkin tidak lagi berkesan sekarang kerana perniagaan perlu menjana pendapatan mereka sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Kita perlu memastikan ada kecairan dalam pasaran dan perniagaan dapat menjana pendapatan bagi menampung gaji pekerja mereka dan menghasilkan pengganda ekonomi apabila menjalankan urus niaga.

"Ini hanya boleh dicapai dengan membukakan lebih banyak sektor ekonomi secepat mungkin dan membenarkan orang ramai untuk bergerak antara daerah dan negeri, tetapi sudah tentunya tertakluk kepada prosedur operasi standard (Covid-19),” katanya pada program Mid-day Update Bernama TV pada Rabu.

Sementara itu, Ahmed Razman berkata, keyakinan pelabur tempatan mungkin telah kembali pulih apabila ketidakstabilan politik negara telah mereda dengan pelantikan Perdana Menteri baharu.

"Kita boleh lihat petandanya sekiranya anda melihat kepada bursa saham dan FTSE Bursa Malaysia KLCI sejak dua hari lepas, apabila ia meningkat di atas paras 1,500," katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, pelabur asing mungkin mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka mungkin mahu melihat dahulu bagaimana pembentukan kabinet kerajaan.

"Mereka mungkin juga mahu mengetahui apa yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), serta Belanjawan 2022 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada Oktober,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: