X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Faktor jarak, kos tinggi bantut penyaluran bekalan elektrik, air

Isu bekalan elektrik dan air melibatkan tujuh kampung dalam DUN Chini sudah dalam perhatian kerajaan.
A
A

KUANTAN - Isu bekalan elektrik dan air bersih di tujuh kampung orang asli dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berlaku ekoran status perkampungan itu sebagai kampung tambahan atau kampung satelit yang dibina jauh dari kampung utama.

Keadaan itu menyukarkan proses penyaluran bekalan disebabkan faktor jarak selain melibatkan kos pembekalan kemudahan asas yang tinggi berbanding jumlah penerima yang kecil.

Exco Pembangunan Luar Bandar Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram berkata, kemudahan asas yang lengkap telah disediakan di perkampungan utama yang menjadi tempat asal mereka.

Menurutnya, pada masa sama, ada antara kampung terlibat berada dalam kawasan ladang kelapa sawit yang berstatus bukan tanah kerajaan atau rizab orang asli.

"Wujud beberapa kekangan di mana kebenaran perlu diperoleh daripada pemilik ladang sebelum pembekalan boleh dilaksanakan.

"Isu bekalan elektrik dan air melibatkan tujuh kampung berkenaan iaitu Kampung Patah Jelutong, Kampung Sega, Kampung Gantung Geriang, Kampung Bahuk,Kampung Semambu, Kampung Puput dan Kampung Tebas Buang di dalam DUN Chini sudah dalam perhatian kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Kali Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Abd Aziz berkata, antara isu yang dikenal pasti termasuk lokasi kampung yang terletak jauh dari jajaran paip sedia ada selain merentasi hutan dan ladang kelapa sawit.

"Bagaimanapun ada beberapa kampung telah disenaraikan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam projek bekalan air terawat tahun ini dan menunggu peruntukan untuk dilaksanakan dan ada yang sudah dibekalkan sistem air sementara untuk kegunaan penduduk.

"Difahamkan, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga akan membuat kajian dan perancangan bagi pembekalan elektrik ke kawasan tersebut tertakluk kepada syarat dan spesifikasi teknikal sedia ada," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!