AirAsia ride beri peluang pengguna e-hailing pilih pemandu

AirAsia ride bukan sahaja menawarkan pilihan untuk jenis kenderaan tetapi juga pemilihan pemandu yang terbaik dan selamat. - Foto AirAsia
AirAsia ride bukan sahaja menawarkan pilihan untuk jenis kenderaan tetapi juga pemilihan pemandu yang terbaik dan selamat. - Foto AirAsia
A
A
A

SYARIKAT penerbangan tambang rendah, AirAsia memperkenalkan perkhidmatan terbaharu e-hailing dikenali sebagai AirAsia ride yang menawarkan beberapa ciri unik buat pengguna dan pemandu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia ride Malaysia, Lim Chiew Shan berkata, melalui perkhidmatan e-hailing di bawah aplikasi AirAsia Super App itu, pengguna diberi peluang untuk memilih sendiri pemandu yang mereka mahu.

Menurutnya, pilihan ditawarkan dalam perkhidmatan AirAsia ride itu bukan sahaja terhad kepada jenis kenderaan tetapi juga pemilihan pemandu yang terbaik dan selamat.

“AirAsia ride menggunakan konsep ‘pemandu yang diutamakan’ bagi pemandu yang komited dan mendapat penilaian baik daripada pelanggan.

“Jadi apabila pengguna membuka aplikasi tersebut, mereka akan diberikan pilihan kepada ‘pemandu diutamakan’ yang berada berdekatan,” katanya ketika majlis pelancaran Airasia ride yang diadakan secara maya pada Isnin.

Turut bersama pada acara itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes; Presiden AirAsia Digital, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Super App, Amanda Woo.

Chiew Shan berkata, konsep ‘pemandu diutamakan’ itu juga akan membolehkan pemandu menerima pendapatan keseluruhan yang lebih tinggi.

“Pada masa ini, kami mempunyai seramai 1,500 pemandu berdaftar dan dengan pelan pengembangan ke seluruh negara, kami menjangka lebih 5,000 pemandu akan mendaftar dengan bersama AirAsia ride dalam tempoh enam bulan bulan akan datang,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau lagi, kesemua pelanggan termasuk mereka yang memerlukan e-hailing untuk bergerak daripada lapangan terbang turut boleh melakukan tempahan awal kepada pemandu melalui AirAsia ride.

Perkhidmatan yang mula ditawarkan di Lembah Klang itu katanya, akan diperluaskan di beberapa negeri antaranya seperti Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Sabah dan Sarawak selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Woo berkata, berkata, AirAsia ride turut mempunyai DNA tambang rendah dengan kesemua semua penjimatan perniagaan akan disalurkan kepada penumpang melalui tambang terendah dan nilai terhebat menerusi ekosistem e-panggilan yang sangat kompetitif.

Katanya, AirAsia ride dijangka akan turut diperluaskan ke negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara yang lain dalam waktu terdekat.

“Airasia ride menawarkan penyelesaian perkhidmatan e-hailing yang berbeza dan menarik melalui platform sehenti AirAsia Super App untuk pengalaman tempahan menyeluruh dari udara ke jalan raya.

“Dengan memanfaatkan aset data yang telah kami bina sejak 20 tahun lalu, AirAsia ride adalah peneraju baharu dalam industri e-hailing dan perjalanan,” katanya.

Pengguna yang berminat untuk menggunakan perkhidmatan AirAsia ride boleh mendapatkan diskaun RM3 untuk perjalanan pertama mereka dengan menggunakan kod promosi AARIDE3 bermula dari sekarang hingga 30 September 2021.

"Perkhidmatan e-hailing AirAsia ride juga boleh ditempah menerusi ikon ‘Ride’ di AirAsia Super App atau layari laman airasia.com/ride," katanya.