Pembaca meter TNB diserang anjing ketika bertugas

Pembaca meter TNB yang cedera digigit anjing di Taman Megah Ria, Johor Bahru pada Ahad.
Pembaca meter TNB yang cedera digigit anjing di Taman Megah Ria, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pembaca meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) cedera di tangan kanannya akibat diserang seekor anjing ketika bertugas di Taman Megah Ria di sini pada Ahad.

Menerusi perkongsian di media sosial, mangsa, Mohd Faridzuan Nordin, 27, dikatakan diterkam dan digigit seekor anjing yang meluru keluar dari sebuah rumah di taman perumahan itu apabila pintu pagar kecil dibuka.

Difahamkan, pintu pagar kecil itu dibuka oleh cucu pemilik rumah tersebut.

Mangsa dan anak pemilik anjing bergelut dengan haiwan berkenaan dalam masa beberapa minit sebelum melepaskan gigitan.

Mangsa kemudian meminta bantuan menerusi aplikasi WhatsApp dengan menghantar gambar dia digigit anjing pada jam 12.05 tengah hari.

Susulan itu, beberapa orang rakan sekerja berhampiran segera datang ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa dan membawanya ke klinik untuk mendapatkan suntikan dan rawatan susulan.

Mangsa bagaimanapun dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk membuat pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi pada Selasa mengesahkan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat mangsa pada hari sama kejadian.

"Pegawai penyiasat memaklumkan bahawa mangsa tidak mengalami patah tangan, cuma luka di lengan tangan kanan dan ibu jari tangan kiri, serta calar-calar di kaki.

"Mangsa bagaimanapun secara sukarela menarik balik laporan itu setelah perbincangan dibuat oleh kedua-dua belah pihak. Kes telah diselesaikan dengan baik," jelas beliau.