Mesej tular NGO positif Covid-19 di Yan palsu

Sebahagian sukarelawan membersih rumah penduduk yang dipenuhi dengan lumpur akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang melanda Kampung Teloi Bukit. - Foto Bernama
Sebahagian sukarelawan membersih rumah penduduk yang dipenuhi dengan lumpur akibat fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang melanda Kampung Teloi Bukit. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Pesanan mesej mendakwa terdapat beberapa kes positif Covid-19 dalam kalangan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terlibat membantu mangsa fenomena kepala air di Yan yang tular menerusi aplikasi WhatsApp adalah palsu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, Jabatan Kesihatan Negeri tidak membuat sebarang ujian saringan terhadap sukarelawan terbabit sekali gus maklumat berkenaan tidak boleh dipercayai.

“Kenyataan yang disebarkan itu adalah palsu. Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menimbulkan kebimbangan orang awam terutamanya penduduk yang terlibat dalam tragedi berkenaan,” katanya yang dihubungi Bernama pada Selasa.

Dr Othman sehubungan itu menasihatkan semua pihak termasuk sukarelawan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan fizikal sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Pesanan mesej yang mula tular hari ini tersebut mengandungi maklumat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Yan meminta sesiapa yang berhasrat untuk membantu mangsa banjir di Yan untuk menangguhkan dahulu kerana terdapat beberapa kes positif dalam kalangan NGO.

Pesanan mesej itu turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalankan ujian saringan dan mendapati lebih kurang 500 orang positif Covid-19 di Yan. - Bernama

Artikel Berkaitan: