Mahkamah panggil doktor perjelas ketidakhadiran Ahmad Zahid

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan ketidakhadiran Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi prosiding kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dijadualkan pada Selasa, Mahkamah Tinggi di sini akan memanggil seorang doktor pakar dari sebuah hospital swasta bagi menjelaskan keadaan kesihatan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, sapina akan dikeluarkan kepada doktor tersebut bagi mendapatkan penjelasan mengenai prosedur yang akan dijalankan terhadap Ahmad Zahid.

"Mahkamah juga perlu maklumat mengenai tempoh masa yang diperlukan untuk tertuduh benar-benar pulih.

"Mahkamah tidak boleh membenarkan sebarang penangguhan lagi dan akan memanggil doktor berkenaan bagi menjelaskan keadaan kesihatannya serta prosedur yang akan dijalankan,'' katanya.

Dalam prosiding pagi Selasa, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Presiden UMNO itu berkata, anak guamnya tidak dapat hadir kerana akan menjalani prosedur tulang belakangnya di sebuah hospital pakar.

Menurutnya, Ahmad Zahid mengalami kesakitan akibat terjatuh dan tidak mampu duduk terlalu lama.

Ketidakhadiran Ahmad Zahid menyebabkan prosiding yang dijadualkan bermula jam 9 pagi tadi ditangguh seketika sehingga kehadiran doktor tersebut.

Pada Selasa, mahkamah sepatutnya mendengar penghujahan kes Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Artikel Berkaitan:

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana yayasan untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.