Mangsa banjir di Perak menurun kepada 257 orang pagi ini

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Perak semakin menurun pagi Selasa kepada 257 orang daripada 69 keluarga, yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 271 orang daripada 73 keluarga pada Isnin.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat penurunan jumlah mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu daerah Kerian iaitu 60 orang daripada 17 keluarga, berbanding jumlah pada Isnin iaitu 68 mangsa daripada 19 keluarga.

“Di daerah yang sama jumlah mangsa banjir di PPS SK Changkat Lobak pula kekal 111 orang daripada 26 keluarga seperti semalam, manakala mangsa banjir di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama berkurangan kepada 76 orang daripada 24 keluarga berbanding 82 orang daripada 26 keluarga semalam,” menurut portal itu.

Sementara itu, di daerah Kampar, jumlah mangsa di PPS Dewan Serbaguna Kampung Batu 20 masih kekal seramai 10 orang daripada dua buah keluarga.

Dilapor pada Isnin, kerja membaik pulih dua ban yang rebak dilanda arus deras Jumaat lepas menggunakan cerucuk sementara batang kelapa di ban Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah, Alor Pongsu sudah disiapkan bagi menghalang aliran air sungai memasuki kawasan penempatan penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memasang bongkah batu bagi memperkukuh ban yang rosak selepas kerja menanam cerucuk berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: