73,000 pekerja industri Negeri Sembilan terima dos pertama

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 85 peratus daripada 73,000 pekerja industri di Negeri Sembilan telah menerima vaksin dos pertama vaksin Covid-19.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pihaknya menjangkakan kesemua pekerja industri di negeri ini akan memperoleh vaksin penuh menjelang pertengahan September ini.

Menurutnya, usaha memastikan setiap premis sektor perindustrian memperoleh pencapaian 100 peratus suntikan vaksin adalah untuk membolehkan sektor perindustrian beroperasi semula secara optimum.

"Dalam usaha menjadikan premis perkilangan adalah kawasan 'bebas Covid-19', tiga prasyarat utama perlu dicapai antaranya mencapai 100 peratus untuk semua pekerja menerima dua dos suntikan vaksin," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Selasa.

Mohamad Rafie berkata, setiap individu yang memasuki premis perkilangan juga perlu terlebih dahulu disaring uji dan bebas daripada gejala Covid-19 selain premis perkilangan perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) kesihatan yang ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Ahad lalu seramai 54,867 pekerja industri telah menerima suntikan vaksin di dua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri Covid-19 Awam-Swasta (Pikas) di Negeri Sembilan.

"Daripada jumlah itu, seramai 39,002 pekerja industri mendapat dos pertama dan 28,938 pekerja industri mendapat dos kedua di PPV Pikas d’Tempat Country Club, Sendayan.

"Seramai 15,865 pekerja mendapat dos pertama di PPV Pikas D’Cattleya, Senawang," katanya.

Artikel Berkaitan: