Pok Dir tetap semangat mahu sambut Hari Kebangsaan

Pok Dir ditemani isteri Hasmah Yusof, 56, menunjukkan baju Jalur Gemilang ketika ditemui di rumahnya di Kota Jembal hari ini. - Foto Bernama
Pok Dir ditemani isteri Hasmah Yusof, 56, menunjukkan baju Jalur Gemilang ketika ditemui di rumahnya di Kota Jembal hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Sejak 10 tahun lalu pelakon tambahan veteran era P Ramlee, Abdul Kadir Mamat, 80, pasti menjadi tumpuan ramai kerana diangkat sebagai ikon apabila sering dijemput pelbagai pihak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Pok Dir dalam kalangan penduduk setempat akan memakai baju bercorak Jalur Gemilang dan menyertai perarakan sempena Hari Kebangsaan, namun akibat disahkan menghidap kanser prostat, kesihatannya kini agak terganggu sehingga terpaksa memakai tiub pundi kencing yang menyukarkan pergerakan.

"Saya sering diundang oleh pelbagai pihak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan khususnya pihak sekolah tetapi kini keadaannya tidak lagi semeriah dahulu apatah lagi dengan pandemik Covid-19 yang tidak diketahui bila akan berakhir.

"Bagi menyambut hari ‘keramat’ kali ini saya rasa mungkin akan menyambutnya di rumah sahaja bersama isteri, Hasmah Yusof, 56. Sebelum ini saya ada memasang niat untuk berarak keliling kampung sambil membawa Jalur Gemilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kota Jembal di sini hari ini.

Abdul Kadir Mamat
Abdul Kadir Mamat

Pok Dir berkata, sejak lebih sebulan lalu keadaan kesihatannya mulai merosot dan terpaksa berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Katanya, dia kini lebih banyak berada di rumahnya, yang disumbangkan RISDA melalui Program Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2010.

Beliau pernah berlakon dalam filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee seperti ‘Kanchan Tirana’, ‘Ali Baba Bujang Lapok’ dan ‘Pendekar Bujang Lapok’.

Artikel Berkaitan:

Dalam filem Ali Baba Bujang Lapok, Abdul Kadir merupakan penyamun pertama yang dijirus dengan minyak panas oleh Marjina lakonan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad.

Pok Dir dilihat tetap bersemangat membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan dengan memasang Jalur Gemilang di rumahnya di Kota Jembal hari ini. - Foto Bernama
Pok Dir dilihat tetap bersemangat membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan dengan memasang Jalur Gemilang di rumahnya di Kota Jembal hari ini. - Foto Bernama

Mengulas mengenai Hari Kebangsaan, Pok Dir berkata, semua golongan masyarakat perlu bersatu padu dan mempertahankan keamanan yang dikecapi sekarang walau dalam apa jua keadaan sekalipun.

"Saya sendiri pernah hampir menjadi korban ketika tercetusnya tragedi 13 Mei 1969.

"Keperitan peristiwa itu jelas menunjukkan sekiranya kita tidak bersatu padu dan memahami antara satu sama lain sudah pasti akan wujud suasana yang boleh mengucar-ngacirkan negara," katanya yang berasal dari Kampung Berhala dekat Peringat, di sini. - Bernama