Taliban laung amaran tegas

Pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai terus dikerumuni warga tempatan yang berharap dapat keluar dari Kabul. - Foto AFP
Pintu masuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai terus dikerumuni warga tempatan yang berharap dapat keluar dari Kabul. - Foto AFP
A
A
A

KABUL - Gerakan Taliban pada Isnin tegas melaungkan amaran jika Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melanjutkan tempoh pemindahan di ibu negara Afghanistan ketika situasi semakin kecoh di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai.

"Ia adalah 'garisan merah'. Jawapan kami adalah 'tidak' jika AS atau United Kingdom (UK) mahu pelanjutan tempoh atau mereka akan berdepan 'akibat' tindakan itu," tegas jurucakapnya, Suhail Shaheen.

Menurutnya, ia seakan-akan meneruskan 'tempoh pendudukan' mereka jika tarikh akhir yang telah dipersetujui itu dilanjutkan.

Sementara itu, dua sumber Taliban memaklumkan kumpulan tersebut tidak akan mengumumkan penubuhan kerajaan atau kabinet baharu sehingga tentera terakhir AS meninggalkan Kabul.

Pada Ahad, Presiden AS, Joe Biden yang berdepan desakan banyak pihak menegaskan beliau tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh operasi pemindahan berskala besar dan paling mencabar itu yang ditetapkan berakhir pada 31 Ogos ini.

"Perbincangan sedang dilakukan tentang kemungkinan untuk pelanjutan tersebut," katanya di Rumah Putih.

Difahamkan, Kesatuan Eropah (EU) dan UK mula menyuarakan kebimbangan memandangkan operasi itu hanya berbaki seminggu lagi.

Ketika ini, keadaan semakin meruncing di lapangan terbang di Kabul yang turut menyaksikan sekurang-kurangnya lapan maut dalam insiden kekecohan tersebut yang berlarutan sejak seminggu lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian terbaru, seorang pengawal warga tempatan terbunuh manakala tiga yang lain cedera dalam insiden berbalas tembakan antara pengawal Afghanistan dan kumpulan penyerang tidak dikenali hingga memaksa tentera Jerman serta AS campur tangan ketika serangan di pintu utara lapangan terbang berkenaan. - AFP