Tawaran PM libatkan pembangkang bukti kerjasama rentas politik

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melibatkan pihak pembangkang secara langsung dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 membuktikan beliau inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia.

Ketua Pemuda Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, perkara tersebut juga selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu mewujudkan kestabilan politik negara melalui kerjasama rentas parti politik.

"Tawaran ini sangat baik dan membuktikan bahawa beliau berjiwa besar dan inginkan penyatuan sebenar politik Malaysia," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Sementara itu ujar Khairil Nizam, beliau menyokong penuh rancangan Perdana Menteri untuk segera membela dan memulihkan ekonomi rakyat serta sektor swasta yang terjejas melalui dua objektif utama iaitu mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

"Seperti yang pernah saya huraikan sebelum ini iaitu kerajaan Persekutuan yang baharu ini mestilah memberikan fokus kepada dua perkara iaitu ekonomi rakyat dan keselamatan rakyat.

"Saya pasti menyokong penuh usaha Perdana Menteri untuk memastikan suara anak muda di dalam negara kita lebih didengari dan diberi perhatian oleh pihak kerajaan.

"Anak muda perlu diberikan lebih ruang dan peluang di dalam negara bertuah ini untuk terlibat secara langsung dalam pelaksanaan agenda pemulihan negara oleh kerajaan," katanya.

Dalam hantaran yang sama juga, beliau menyifatkan tema besar yang dibawa oleh Ismail Sabri melalui Keluarga Malaysia adalah sangat tepat dalam keadaan Malaysia sedang berhadapan pandemik Covid-19 dan kemelut politik sehingga membantutkan usaha membaik pulih ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, kerajaan kini perlu mengembalikan fokus rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang politik, agama dan bangsa untuk bertindak secara bertanggungjawab seperti sebuah keluarga yang saling mendukung di antara satu sama lain di dalam agenda Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Pada hemat saya, Perdana Menteri telah mempunyai “big picture” yang jelas mengenai hala tuju negara di samping bersedia untuk meneruskan agenda kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Penilaian risiko serta hasil analisa data telah menunjukkan bahawa PPN sedang berada di landasan yang tepat dan mampu mengeluarkan Malaysia daripada kemelut pandemik Covid-19 dalam kadar segera seperti yang telah dijadualkan," katanya.