234 permohonan TUNS diluluskan

MOHAMAD RAFIE
MOHAMAD RAFIE
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 234 permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) telah diluluskan melibatkan dana berjumlah RM640,885.70.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, daripada jumlah itu, 10 permohonan diluluskan secara bersyarat yang memerlukan semakan semula oleh pusat khidmat rakyat kawasan terbabit.

"Sebelum ini 372 permohonan TUNS telah diluluskan dan dana geran bantuan berjumlah RM939,899.30 telah disalurkan kepada pemohon yang berjaya.

"Secara keseluruhan seramai 606 usahawan mikro dengan dana geran berjumlah RM1,580,875 telah diluluskan setakat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 500 permohonan lagi akan diluluskan pada mesyuarat jawatankuasa kelulusan TUNS yang akan bersidang pada 25 Oktober ini.

Ujarnya, bagi tahun ini, seramai 1,000 usahawan mikro akan mendapat geran bantuan di bawah skim TUNS dengan dana peruntukan keseluruhan RM3 juta.

"Seramai 200 usahawan mikro lagi akan mendapat kemudahan pinjaman tanpa faedah sehingga RM15,000 di bawah skim baru yang diperkenalkan.

"Untuk TUNS Plus, sebanyak 71 permohonan diluluskan dengan peruntukan dana sebanyak RM915,000 yang bakal disalurkan dalam tempoh masa terdekat ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohamad Rafie, permohonan TUNS dan TUNS Plus perlu menerusi Urusetia Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNNS) dan kerajaan Negeri Sembilan tidak akan menerima mana-mana permohonan menerusi pihak ketiga atau 'orang tengah.