Sedania Offspring berkembang ke lima pasaran Eropah

Azrin Mohd Noor
Azrin Mohd Noor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sedania Innovator Berhad menerusi salah satu anak syarikatnya, Offspring Inc Sdn Bhd terus berkembang pesat di persada antarabangsa dengan pembukaan di lima pasaran baharu iaitu Belarus, Armenia, Kazakhtan, Kyrgyzstan dan Moldova.

Kemasukan syarikat itu ke lima pasaran baharu berkenaan berikutan pembukaan laman web Offspring yang telah dilancarkan di Rusia.

Ketika ini, Offspring telah berada di 17 negara eksport dan empat buah wilayah termasuk Amerika Utara, Afrika, Eropah dan Asia.

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, Offspring dianggarkan menjana sebanyak RM26 juta setahun hasil daripada pasaran tersebut untuk tahun berikutnya.

Kata beliau, kadar kelahiran tahunan di lima negara tersebut dianggarkan sebanyak 790,000 bayi dan dijangka terus meningkat.

“Kami sangat teruja dengan lima negara baharu ini kerana usaha ini didorong sepenuhnya oleh rakan antarabangsa kami di Rusia.

“Permintaan untuk produk premium berkualiti tinggi semakin meningkat di negara-negara jiran dan Rusia telah mengambil langkah awal dalam menyampaikannya kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Rusia merupakan satu daripada rakan niaga utama Sedania yang mencatatkan pertumbuhan mantap lebih daripada 250 peratus sejak tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

Kazakhstan juga merupakan salah sebuah negara yang berpotensi tinggi untuk Offspring apabila mencatatkan kenaikan ketara dalam tahap pendapatan keseluruhan per kapita hampir kepada AS$27,000 pada tahun lalu.

Azrin berlata, Offspring telah membina kejayaannya yang tersendiri di pasaran melalui kualiti produk yang diiktiraf, sekali gus mengukuhkan kepercayaan di kalangan rakan kongsi antarabangsa dan pengguna.

Pada masa sama, katanya, trend peningkatan permintaan untuk produk organik yang selamat bagi bayi baru lahir semakin kelihatan di Kazakhstan.

Beliau berkata, trend ini dijangka menarik lebih ramai ibu bapa untuk memilih produk selamat yang berkualiti tinggi bagi bayi mereka.

“Offspring melalui produk organik dan mesra alamnya amat sepadan dengan permintaan yang semakin meningkat ini,” katanya.

Menurut Sedania, akaun media sosial seperti Instagram dan Facebook telah ditetapkan untuk setiap negara tersebut bagi memastikan pengguna mendapatkan maklumat yang tepat dan cepat mengenai produk terkini Offspring.

Semua pembelian dari negara-negara itu termasuk Rusia dibuat menerusi beberapa platform dalam talian terkenal seperti wildberries.ru dan ozon.ru.

Azrin berkata, dalam masa yang singkat pada tahun 2021, Offspring telah menembusi pasaran ke 10 buah negara, dan angka ini akan terus meningkat.

"Perancangan kami untuk pengembangan pasaran yang akan datang akan membolehkan kami terus memasuki pasaran utama baru untuk baki tahun 2021 dan secara tidak langsung bakal meletakkan syarikat pada posisi yang strategik untuk tahun 2022," katanya.