Mangsa banjir di Perak meningkat

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad (kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Daerah Kerian Mohd Bakri Sabli (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak pada Ahad. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad (kanan) mendengar penerangan daripada Pegawai Daerah Kerian Mohd Bakri Sabli (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di tiga daerah di negeri ini pada petang Ahad meningkat kepada 284 orang daripada 78 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 222 orang pada sebelah pagi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, terdapat peningkatan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu daerah Kerian iaitu daripada 44 orang pada pagi kepada 68 orang pada petang membabitkan 19 keluarga.

“Di daerah yang sama, mangsa di PPS SK Changkat Lobak meningkat kepada 104 mangsa daripada 25 keluarga. Di daerah Larut Matang dan Selama pula, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Matang menurun kepada 102 mangsa berbanding pagi tadi (Ahad) seramai 107 mangsa," katanya.

Sementara itu di daerah Kampar sebuah PPS baharu telah dibuka pada jam 11 pagi Ahad iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Batu 20 berikutan banjir yang berlaku di Kampung Batu 20 melibatkan 10 mangsa daripada dua keluarga.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi ciapan di akaun Twitter rasmi pula memaklumkan setakat jam 1.30 tengah hari Ahad, hanya kenderaan berat sahaja boleh melepasi kawasan banjir selepas laluan keluar Plaza Tol Alor Pongsu (luar kawasan selenggaraan PLUS). - Bernama

Artikel Berkaitan: