Kejohanan dalaman BAM pastikan pemain junior kekal kompetitif

Chin Chai
Chin Chai
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) bakal menganjurkan kejohanan dalaman khusus untuk pemain junior di Akademi Badminton Malaysia (ABM), mulai 23 hingga 27 Ogos, ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan BAM, Datuk Ng Chin Chai berkata, kejohanan berkenaan dianjurkan bagi memastikan kesemua pemain junior skuad badminton negara kekal aktif di sebalik kekurangan penganjuran pertandingan berikutan situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia ketika ini.

Menurut Chin Chai, secara keseluruhannya, kejohanan dalaman ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pemain mengenai situasi dan suasana sebenar sesuatu kejohanan.

“Diharapkan apabila mereka dapat merasai sendiri suasana sedemikian ia akan membantu meningkatkan lagi semangat mereka untuk memberikan yang terbaik.

“Kejohanan dalaman ini akan turut mencabar pemain bagi meningkatkan keupayaan masing-masing ketika dalam sesi latihan yang diadakan.

“Kejohanan berkenana juga bakal menentukan ranking mereka sebelum dihantar untuk beraksi pada beberapa kejohanan di Eropah yang dijadualkan berlangsung pada Oktober dan November depan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Ahad.

Untuk rekod, seramai 59 pemain junior, bakal menyertai kejohanan dalaman berkenaan yang akan dijalankan mengikut tiga kategori melibatkan kategori bawah 18, 16 dan 14 tahun.

Kesemua pemain ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan mereka akan beraksi bagi merebut slot untuk beraksi pada pusingan 'play-off' pada 30 dan 31 Ogos dan berkemungkinan berpeluang beraksi bersama skuad senior kelak.

Artikel Berkaitan:

Sehingga ke hari ini difahamkan, kesemua pemain bagi kategori bawah 16 dan 14 tahun telah pun mendaftar di ABM penghujung Julai lalu dan telah pun memulakan latihan intensif bagi tempoh beberapa minggu sejak kebelakangan ini.

Sementara itu pemain badminton junior negara, Muhammad Fazriq Mohd Razif berkata, dia teruja untuk kembali menjalani latihan di ABM, sejak menyertai kejohanan antarabangsa di Slovenia dan Austria.

“Setelah sekian lama tidak berlatih, saya teruja untuk kembali bersama rakan-rakan menjalani latihan di sini (ABM).

“Selama ini, kami hanya menjalain latihan di rumah, di bawah pengawasan jurulatih menerusi aplikasi Zoom,” katanya.