Jawatan TPM, kabinet: Tertakluk perbincangan Pengerusi PN, PM

Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah tertakluk pada perbincangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah tertakluk pada perbincangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) adalah tertakluk pada perbincangan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, PN menyerahkan sepenuhnya pelantikan jawatan tersebut kepada dua pemimpin berkenaan.

"Kami tak bincang (jawatan TPM) dan kabinet, kami serah kepada Pengerusi PN untuk tentukan, bincang dengan Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika mengulas adakah terdapat perbincangan dalam PN untuk menamakan jawatan TPM daripada kalangan pemimpin Bersatu.

Mesyuarat tersebut berlangsung kira-kira dua jam dan dipengerusikan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu serta turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mengenai khabar angin jawatan TPM akan diisi daripada kalangan pemimpin Bersatu, Ahmad Faizal berkata:

"Alhamdulillah, terima kasih kalau nak bagi (jawatan TPM) kepada Bersatu tapi yang penting satu kabinet yang dibentuk sebagai satu pasukan untuk selamatkan negara keluar daripada kemelut yang kita alami (Covid-19).

"Pengerusi akan bincang dengan Perdana Menteri dan saya percaya beliau akan buat keputusan yang betul."

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menjawab soalan adakah kerajaan baharu ini masih kerajaan PN, Ahmad Faizal berkata, ia masih kekal kerajaan PN.

"Pada kami (PN) ini kerajaan PN, secara matematik kami ada 77, kawan sebelah (Barisan Nasional) ada 41. Kami percaya kami mewakili kerajaan PN," katanya.

Ahmad Faizal juga berkata, PN akan memberi sepenuh sokongan kepada kerajaan yang akan dibentuk oleh Ismail Sabri di samping sokongan padu kepada Pengerusinya, Muhyiddin.

"Kami akan meneruskan usaha persiapsiagakan PN untuk hadapi PRU (Pilihan Raya Umum), jentera parti dan kerjasama parti komponen akan diperkukuh," katanya. - Bernama