Pas Sabah harap keadilan dalam pembentukan kabinet

Aliakbar Gulasan
Aliakbar Gulasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Pas Sabah mengharapkan keadilan kepada semua komponen parti politik dan wilayah dalam pembentukan kabinet di bawah pimpinan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, Pas yakin dengan kebijaksanaan Ismail Sabri yang berpengalaman dalam politik dan kabinet termasuk jawatan terakhir beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya, Pas Sabah mengharapkan kesepakatan untuk memberi satu kesepaduan yang kukuh dalam pembentukan Malaysia yang lebih aman dan harmoni.

"Kita juga mengharapkan keadilan untuk semua, yang pertama adil dari segi parti komponen dan kedua adil dari segi wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Kita tidak boleh mengharapkan hanya satu wilayah lebih penting berbanding yang lain.

Jadi kita harap perwakilan dari segi pembentukan kabinet juga menggambarkan keadilan untuk semua wilayah," katanya kepada Sinar Harian selepas program mengedar Jalur Gemilang di Surau Al-Amin Putera Perdana, Telipok pada Ahad.

Aliakbar memasang Jalur Gemilang pada kenderaan dalam program mengedar Jalur Gemilang di Surau Al-Amin Putera Perdana, Telipok, Kota Kinabalu.
Aliakbar memasang Jalur Gemilang pada kenderaan dalam program mengedar Jalur Gemilang di Surau Al-Amin Putera Perdana, Telipok, Kota Kinabalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung harapannya mengenai barisan kabinet yang akan dibentuk membabitkan ahli Parlimen dari Sabah.

Artikel Berkaitan:

Diminta mengulas lanjut barisan kabinet membabitkan ahli Parlimen Pas, Aliakbar berkata, parti itu tidak meletakkan sebarang syarat dan hanya mengutamakan perpaduan serta kekuatan bersama.

"Jadi sekali lagi saya mengatakan, kita serah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Pas seperti biasa semasa pembentukan Perikatan Nasional (PN), kita tidak meletakkan syarat mesti letak di mana-mana posisi, yang penting kita kuat bersama," katanya.

Sementara itu, beliau turut memberi jaminan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus kukuh demi mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

"Apabila berlakunya kemelut politik, kita sebenarnya ada perbincangan secara tidak rasmi dan kita cukup gembira termasuk parti UMNO sendiri menyatakan satu komitmen yang luar biasa.

"GRS tidak akan berpecah paling kurang sehingga pilihan raya akan datang tetapi kita meletakkan lebih jauh daripada itu, jadi maknanya walau apa pun berlaku di peringkat Pusat, Sabah sudah meletakkan satu iltizam yang cukup kuat untuk terus bersama sebab GRS ini mandat dari rakyat," katanya.