Hannah Yeoh cadang wujudkan kementerian kanak-kanak

Hannah Yeoh
Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disarankan supaya menubuhkan kementerian khas bagi menjaga kesejahteraan kanak-kanak.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, laporan Jabatan Perangkaan pada tahun 2020 menunjukkan populasi kanak-kanak di kebanyakan negeri ini Malaysia ialah hampir 30 peratus dengan Wilayah Persekutuan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 38.5 peratus.

Beliau berkata, kanak-kanak di negara ini menghadapi pelbagai cabaran dan penindasan, antaranya membabitkan penderaan, gangguan seksual dan pengabaian.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) ketika mentadbir negara sebelum ini bersungguh-sungguh memberi tumpuan terhadap isu-isu berkaitan kanak-kanak.

"Kita telah melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang pertama, melancarkan sistem semakan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan memperuntukkan geran bagi penubuhan taska di tempat kerja di sektor awam.

"Kita turut melancarkan info grafik untuk pengasuh dan ibu bapa, bekerjasama dengan Google menerbitkan video kempen kesedaran mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat untuk kanak-kanak, menyediakan WhatsApp Talian Kasih bagi memudahkan pelaporan dan pelbagai inisiatif lain bagi meningkatkan keselamatan kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hannah berkata, kesejahteraan kanak-kanak semakin terancam ketika Sekatan Pergerakan Penuh yang berterusan dan wajar mendapat lebih perhatian.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masa Perdana Menteri baharu mengutamakan isu kanak-kanak berbanding jawatan penasihat khas bertaraf menteri.

Artikel Berkaitan:

"Jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini boleh memberikan jawatan kepada 32 menteri dan 38 timbalan, tentu bukan sesuatu yang sukar untuk Ismail Sabri mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak.

"Jika ia boleh dilakukan sebelum ini (beri jawatan khas) kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sudah tentu boleh dilakukan sekarang. Lebih berbaloi wang hasil pembayar cukai dibelanjakan untuk anak-anak kita, " katanya.