Ismail Sabri pentingkan ketepatan masa, utamakan kebajikan rakyat

 Ismail Sabri disifatkan sebagai seorang yang sangat mementingkan ketepatan masa, mudah didekati dan menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit.
Ismail Sabri disifatkan sebagai seorang yang sangat mementingkan ketepatan masa, mudah didekati dan menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit.
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai seorang yang sangat mementingkan ketepatan masa, mudah didekati dan menitikberatkan kebajikan rakyat tanpa mengira warna kulit.

Berkongsi sisi peribadi Ahli Parlimen Bera itu, kenalan lamanya Abu Hassan Mohd Endut, 73, yang sudah mengenali Ismail Sabri lebih 20 tahun ketika sama-sama mula bergiat aktif dalam UMNO menyifatkan beliau sebagai seorang bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.

"Beliau tak suka orang tunggu dia... akan cuba menepati masa malah ada masanya tiba lebih awal daripada waktu dijanjikan.

Doa kami semoga beliau dapat menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan dipermudahkan semua urusan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di bandar Bera di sini pada Sabtu.

Seorang lagi kenalan lama kepada Naib Presiden UMNO itu, Ismail Mohd Ishak, 74, berkata Ismail Sabri adalah seorang yang kuat bekerja serta bijak menyesuaikan diri dengan suasana atau ketika berhadapan dengan sesuatu isu.

Beliau menyifatkan Ismail Sabri, meskipun tegas dalam hal kerja, masih boleh berseloroh dengan semua golongan usia menyebabkan keperibadiannya disukai penduduk tempatan kerana 'ibarat tiada jurang besar' semasa mereka berada dalam majlis keramaian tidak formal.

Sementara itu, Azhar Mohamad, 56, yang juga anak saudara kepada Ismail Sabri, menyifatkan bapa saudaranya yang dipanggil ’Pok Su Yie’ itu mementingkan hubungan kekeluargaan dan juga kesayangan ramai.

Dia berkata. mereka sudah lama tidak bersua muka namun memahami dengan kekangan pandemik Covid-19, selain bapa saudaranya juga sebelum ini sibuk menggalas tugas berat sebagai seorang daripada pemimpin penting negara dalam berdepan pandemik itu.

Artikel Berkaitan:

"Beliau patuh kepada peraturan yang ditetapkan sedangkan sebelum ini, rumah saya adalah destinasi wajib beliau dan keluarga datang berziarah,” katanya.

Bukan hanya ahli keluarga atau rakan, Tok Batin Kampung Bukit Gemuruh di sini, Johari Salam, 53, turut menyifatkan Perdana Menteri sebagai seorang yang suka bergaul dan sering mengambil berat mengenai perihal penduduk Bera termasuk kebajikan masyarakat orang asli.

“Beliau tidak anak tirikan masyarakat orang asli di kawasan Bera dan sentiasa bersedia untuk membantu dari segi prasarana dan sebagainya, itu memang sifatnya dari dahulu lagi," katanya.

Johari berkata, dengan kebolehan dan pengalaman dimiliki, beliau yakin dan percaya selepas 'naik pangkat' menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri mampu mentadbir ketika ekonomi dan aspek kesihatan negara berada di tahap kurang baik akibat pandemik Covid-19.

Bagi K.Murugan, 49, masyarakat India di kawasan berkenaan tidak berhadapan kesukaran untuk meminta bantuan daripada Ketua UMNO Bahagian Bera itu kerana beliau tidak bersikap pilih kasih selain mudah dihubungi dan sedia menghulurkan tangan ketika mana-mana pihak perlukan pertolongan.

"Macam-macam beliau sudah buat untuk kami (masyarakat India) antaranya dari segi aspek pendidikan yang sangat dipentingkan dan masa beliau jadi Ahli Parlimen kami pun dah dapat dua sekolah Tamil iaitu di Kemayan dan Triang," katanya.

Lim Seng Tiong, 58, pula berkata, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri diharap dapat membawa lebih banyak pembangunan di daerah Bera yang kini mempunyai beberapa rangkaian restoran makanan segera, kem tentera dan juga sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Infrastukur juga semakin baik misalnya jalan dari Temerloh boleh terus menghala ke Negeri Sembilan yang menjadi antara laluan utama rakyat Pantai Timur ke Selatan," katanya.- Bernama