Ismail Sabri perlu tumpu usaha membina semula negara

Nordin Abdul Malek
Nordin Abdul Malek
A
A
A

IPOH - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina negara sejurus mengangkat sumpah jawatan pada Sabtu.

Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Perak Tengah, Nordin Abdul Malek berkata, negara kini sudah terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dengan impak Covid-19 dan krisis politik yang berpanjangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata, kesan masalah-masalah tersebut telah mengakibatkan kemusnahan dalam sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Malaysia.

"Pada pandangan kami, kemusnahan negara adalah lebih teruk daripada krisis ekonomi dunia atau perang dunia yang pernah berlaku di dunia sebelum ini.

Wabak pandemik yang tiada tanda berakhir, menjadikan masa depan yang tidak menentu serta sangat mencabar.

"Bagi memberi tumpuan kepada proses pembinaan semula negara, kami mengharapkan anggota kabinet yang akan dilantik haruslah dalam kalangan mereka yang benar-benar terampil di dalam portfolio dipegang selain perlu mengurangkan aktiviti politik agar usaha membina semula negara dapat difokuskan sepenuhnya.

"Saiz kabinet juga perlu dikurangkan melalui penggabungan kementerian dan agensi supaya lebih efektif dan produktif.

Oleh itu, amalan membesarkan saiz kabinet demi memenuhi kuota desakan pelbagai parti gabungan seperti sebelum ini juga hendaklah dihentikan.

Artikel Berkaitan:

Matlamat utama adalah untuk menyelamatkan negara dan bukannya untuk memenuhi kehendak peribadi mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, selain itu kerajaan juga perlu melantik golongan pakar menyertai kabinet atau jawatankuasa kerja yang dapat membantu kabinet mempercepatkan proses membina semula negara yang sangat terkesan akibat pendamik Covid-19.

Jelasnya, Perdana Menteri juga perlu berjiwa besar dan berlapang dada untuk mengadakan sesi libat urus bersama parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai jawatankuasa kerja yang berfungsi secara aktif serta diberi peranan yang besar untuk membantu kerajaan menggerakkan jentera pelaksana negara.

Menurutnya, bagi menangani Covid-19, Malaysia mesti bertindak segera untuk mendapatkan khidmat pakar asing dari kalangan negara yang berjaya menangani Covid-19 dengan berkesan seperti New Zealand dan sebagainya.

"Kerajaan baharu sepatutnya dapat menghapuskan persepsi rakyat kononnya kerajaan ini hanyalah pertukaran ketua dalam kalangan ahli kabinet sebelumnya yang dianggap sudah gagal.

"Ismail Sabri juga tidak boleh mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh dua Perdana Menteri sebelum ini iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tan Sri Muhyidin Yasin kerana gagal meredakan suhu panas krisis politik di Malaysia selepas PRU-14," katanya.

Sementara itu, Nordin menjelaskan dalam konteks daerah Perak Tengah, mereka berbangga kerana Ismail Sabri merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) My Kampung, My Future (MKMF), Mukim Pulau Tiga dijayakan ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) suatu masa dahulu.

Beliau berkata, program tersebut dikembangkan hingga kini sebagai antara projek komuniti yang konsisten dan berjaya malah pernah memberi peluang kepadanya menganggotai beberapa jawatankuasa penasihat MOA ketika Ahli Parlimen Bera itu menjadi Menteri MOA sebelum ini.