16 individu main judi 'Holokoi' ditahan

Antara rampasan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lukut pada Jumaat. Gambar kecil: Aidi Sham
Antara rampasan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuala Lukut pada Jumaat. Gambar kecil: Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Seramai 16 individu berumur 16 hingga 74 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuala Lukut pada Jumaat selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, serbuan kira-kira jam 9 malam itu dilakukan oleh sepasukan polis dari cawangan D7 Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson.

Beliau memberitahu, pasukan serbuan masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci dan mendapati sekumpulan 10 lelaki dan enam wanita duduk mengelilingi sebuah meja di bahagian dapur rumah disyaki bermain judi.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk berjudi termasuk plastik kanvas, piring dan mangkuk kecil, dua biji buah dadu dan sejumlah wang tunai sebanyak RM 11,376," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Jelas Aidi Sham, kesemua suspek turut dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan Pencegahan Kawalan Penyakit Berjangkit (Ordinan Darurat 2021) kerana tiada penjarakan fizikal dan menganjurkan perjudian.

"Kesemua mereka termasuk penghuni rumah dan rampasan telah dibawa ke IPD Port Dickson untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku bermain judi jenis 'Holokoi' malah semakan rekod mendapati tiga individu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Aidi Sham berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 kerana disyaki bermain judi di dalam bangunan.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.