Kejadian di Gunung Jerai akibat fenomena aliran puing: Pakar

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kejadian yang berlaku di Gunung Jerai sehingga mengakibatkan banjir lumpur di sekitar kawasan pergunungan itu bukan akibat fenomena kepala air, sebaliknya ia dikenali sebagai aliran puing yang agak biasa berlaku di kawasan pergunungan.

Felo Penyelidik Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, aliran puing adalah fenomena lebih tepat bagi merujuk kepada kejadian tanah runtuh yang berlaku ekoran hujan ekstrem di puncak gunung.

"Air hujan dalam kuantiti yang banyak biasanya dalam tempoh 10 hingga 15 minit berada dalam alur sungai namun tidak terkeluar daripada alur itu, ia dipanggil kepala air, biasanya paras air meningkat beberapa meter sahaja.

"Aliran puing ini pula apabila air bercampur tanah dan sisa-sisa hutan bergerak pantas ke bawah, semuanya masuk ke dalam alur sungai dan kemudiannya sampai di kaki bukit ia akan terenap,” katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian pada petang Rabu lepas, kawasan di sekitar Gunung Jerai dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh akibat arus sangat deras turun secara tiba-tiba dari aliran-aliran sungai di gunung berkenaan yang sehingga setakat ini meragut empat nyawa, manakala dua lagi mangsa masih hilang.

Bencana itu juga menyebabkan kerosakan pelbagai jenis harta benda, kediaman dan banyak fasiliti di pekan berdekatan akibat ditenggelami lumpur tebal.

Ibrahim berkata, kejadian seumpama itu akan mengambil masa yang lama untuk berulang kerana kawasan puncak gunung telah bersih daripada sisa-sisa terkumpul seperti pokok tumbang sekali gus tiada halangan untuk air hujan mengalir.

Beliau berkata, kejadian aliran puing sebelum ini pernah berlaku antaranya di Pos Dipang, Perak pada 1996 yang memusnahkan kampung Orang Asli dan mengorbankan 44 nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian hampir sama juga berlaku di Genting Sempah pada 1995 yang turut mengorbankan banyak nyawa," katanya.

Tambahnya, kejadian itu merupakan fenomena alam semula jadi dan tiada kaitan dengan sebarang aktiviti pembalakan.

Pakar hidrologi sekitaran dan permodelan sungai Profesor Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pula berkata, berdasarkan pengamatan imej satelit, tiada aktiviti pembalakan atau pertanian terbuka secara besar-besaran berlaku di kawasan Gunung Jerai.

Jelasnya, luruan air akibat kadar hujan yang tinggi membawa bersama serpihan kayu, batuan dan kelodak sehingga membentuk gelombang lumpur atau debris menyebabkan banjir lumpur di bahagian kaki gunung sehingga kedalaman 1.5 meter.

“Dalam kejadian di Gunung Jerai ini, kemungkinan ia berlaku apabila debris yang terkumpul secara semula jadi membentuk empangan di bahagian hulu sungai. Apabila jumlah hujan melebihi dari biasa mengakibatkan banyak serpihan dan dahan-dahan kayu diangkut dan tersangkut di empangan semula jadi ini.

“Tekanan kuat menyebabkan empangan ini pecah dan membawa bersama lumpur, batuan, serpihan kayu, sedimen dan kelodak,” katanya.

Katanya taburan hujan di stesen hujan Gunung Jerai dan stesen hujan Kampung Singkir Genting masing-masing merekodkan 281 milimeter (mm) dan 172 mm semasa kejadian.

Sementara itu, Presiden Institut Geologi Malaysia (IGM) Abd Rasid Jaapar dalam kenyataan berkata, kajian terperinci dan pelan tindakan perlu dibangunkan dengan mengarusperdana konsep pengurangan risiko bencana, selari amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).

Justeru, beliau menyarankan satu kajian bencana geologi secara menyeluruh, bebas dan dianggotai pelbagai bidang kepakaran diterajui oleh ahli geologi dilakukan di Gunung Jerai dan kawasan sekitarnya.

“IGM juga berpendapat kajian potensi bahaya, kerapuhan dan risiko bencana berkaitan geologi perlu dilaksanakan terhadap semua kawasan produk pelancongan semula jadi termasuk geopark dan geotapak di seluruh negara,” katanya.- Bernama