Bunyi tembakan bongkar aktiviti pemburuan haram

A
A
A

KOTA MARUDU - Bunyi tembakan dipercayai berkaitan pemburuan haram membawa kepada penemuan senjata buatan sendiri jenis bakakuk dan bangkai haiwan di kawasan hutan simpan berhampiran Kampung Ranggal, Pitas pada Khamis.

Ketika Op Bersepadu Khazanah (OBK) jam 8.30 malam itu, Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan dan pemantauan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Pasukan operasi terdengar bunyi tembakan sebelum menemui kesan aktiviti pemburuan haram yang dipercayai ditinggalkan selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemui satu laras senjata api buatan sendiri, tiga butir peluru, sebilah parang dan dua bangkai pelanduk.

"Satu daripada tiga butir peluru sudah digunakan manakala dua lagi kelongsong hidup.

"Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3,245 termasuk dua ekor pelanduk yang dipercayai ditembak,” katanya ketika dihubung, pada Jumaat.

Mohd Abduh memberitahu, barang rampasan sudah diserahkan kepada pihak polis manakala bangkai haiwan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 25 (2) (a) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Artikel Berkaitan: