Eky dedah badan 'sado'

Eky menjalani sesi latihan di FAS Training Centre, Shah Alam baru-baru ini. -Foto Selangor FC
Eky menjalani sesi latihan di FAS Training Centre, Shah Alam baru-baru ini. -Foto Selangor FC
A
A
A

PENYERANG Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi menjadi tumpuan selepas tampil dengan perubahan tubuh badannya yang lebih ‘sado’ ketika menjalani sesi latihan di FAS Training Centre, Shah Alam baru-baru ini.

Shahrel Fikri menjelaskan, perubahan yang berlaku itu atas inisiatifnya sendiri untuk memastikan terus dalam keadaan cergas selepas terpaksa berehat panjang kerana kecederaan retak tulang fibula (bahagian betis) pada Mei lalu.

Malah, Shahrel Fikri berkata, keadaan tubuh badannya yang lebih berotot itu juga sebagai persediaannya untuk kembali menggempur benteng pasukan lawan yang dibarisi pemain pertahanan yang lebih besar.

“Sebenarnya bukan niat nak ‘sado’ sangat. Tapi bila dah injured kaki, takkan saya nak rehat dan tak buat apa-apa. Badan perlu bekerja dan saya perlu pastikan saya tetap cergas.

“Lagipun, apabila dah badan berotot saya lebih confident dan ia juga sebagai satu persiapan untuk kembali bermain berdepan pertahanan pasukan terutama pemain import yang lebih besar dan sasa.

“Terima kasih juga kepada pasukan yang menyediakan fasiliti yang cukup, jurulatih yang membantu saya untuk terus cergas dan keadaan fizikal yang lebih baik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Shahrel Fikri yang mesra di sapa Eky turut berkongsi apa yang dilakukannya terutama dengan corak pemakanan yang betul untuk menjadi lebih sasa.

“Faktor pertama memang pemakanan kemudian rehat yang cukup dan tidur pada masanya. Saya juga mengamalkan untuk minum susu pada waktu malam.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum mengalami kecederaan, berat saya dalam lingkungan 71 kilogram (kg) tetapi sekarang dah cecah 76kg. Bila check memang berat naik sebab muscle,” ujarnya.

Dalam itu, Eky menyasarkan untuk kembali berada dalam skuad utama Selangor FC musim depan dan fokusnya ketika ini adalah untuk mendapatkan kembali keyakinan selepas mengalami kecederaan.

“Sekarang baru mula berlatih dengan bola dan dah masuk hari ketiga. Setiap pemain yang cedera sudah tentu teringin mahu kembali beraksi cepat.

“Tetapi bila fikir balik, macam belum bersedia lagi dan banyak lagi perlu buat. Bahagian cedera tu dah tak rasa sakit, cuma nak dapatkan keyakinan balik dengan bola ambil masa sikit,” jelasnya.