Pemandu bas pakai maskot beruang suntik vaksin

Kehadiran Mohd Huzaidi yang memakai maskot beruang menghiburkan petugas barisan hadapan di PPV UniSZA.
Kehadiran Mohd Huzaidi yang memakai maskot beruang menghiburkan petugas barisan hadapan di PPV UniSZA.
A
A
A

KUALA NERUS - Tiada apa yang diharapkan oleh pemandu bas yang memakai maskot beruang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain hanya mahu membawa mesej positif mengenai program vaksinasi dan menghiburkan petugas barisan hadapan.

Mohd Huzaidi Husain, 32, tiba di PPV Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini pada jam 3.30 petang dan selesai menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 jam 4.15 petang pada Selasa.

Menurut Mohd Huzaidi, pada awalnya dia agak gementar kerana bimbang tidak dibenarkan memasuki PPV berkenaan.

"Pada mulanya saya agak ragu-ragu untuk pakai maskot kerana bimbang tidak dibenarkan masuk ke PPV namun saya teruskan juga niat ini bagi memberikan sedikit kelainan seterusnya menggembirakan petugas barisan hadapan.

"Saya bersyukur kerana kehadiran saya menarik perhatian mereka dan saya juga berasa lega kerana telah selamat mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Huzaidi yang berpengalaman memandu bas selama lima tahun berkata, dia bercadang untuk memenuhi permintaan petugas PPV berkenaan yang ingin melihat dia memakai kostum sama ketika mendapatkan suntikan dos kedua pada 7 September depan.

Katanya, hasrat itu akan dipenuhi kerana kostum maskot yang dipakai itu adalah miliknya sendiri yang biasa dipakai ketika menjalankan perniagaan aiskrim secara sampingan di Pantai Teluk Ketapang.

Artikel Berkaitan: