'Fenomena kepala air besar pertama kali berlaku'

Abdul Nasir pada Khamis menunjukkan dewan terbuka di chalet miliknya di Yan yang dihanyutkan arus deras.
Abdul Nasir pada Khamis menunjukkan dewan terbuka di chalet miliknya di Yan yang dihanyutkan arus deras.
A
A
A

YAN - Fenomena kepala air di puncak Gunung Jerai di sini yang mengorbankan tiga nyawa dan tiga mangsa masih hilang, belum pernah terjadi sebelum ini.

Pemilik Neo Era Chalet, Abdul Nasir Md Daud, 64, berkata, sejak tinggal di kawasan berkenaan pada 20 tahun lalu, ini merupakan kali pertama dia melihat fenomena kepala air seteruk itu.

Menurutnya, dia tidak menyangka akan berlaku kejadian kepala air sehingga meragut nyawa.

"Ketika kejadian, lebih kurang jam 4 petang, saya sedang duduk berehat di rumah di kawasan chalet ini dan terdengar bunyi batu, disusuli pokok tumbang.

"Apabila keluar dari rumah, saya nampak kawasan chalet ibarat lautan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini, " katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.

Abdul Nasir berkata, akibat fenomena kepala air itu, dewan terbuka dan tandas di chalet berkenaan musnah sepenuhnya dihanyutkan arus air deras.

Lebih membimbangkan, katanya, fenomena kepala air itu menyebabkan sungai berhampiran chalet bersaiz kira-kira tiga meter bertukar menjadi lebih luas iaitu dianggarkan sekitar enam meter.

"Malah, air sungai menjadi lebih deras berbanding sebelumnya. Kita memang takut kerana hujan masih renyai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, penduduk Kampung Seberang Yan, Yahya Basiron, 73, berkata, seumur hidupnya, dia tidak pernah berdepan kejadian bencana alam seburuk itu.

"Walaupun rumah saya ada tembok tapi limpahan air akibat fenomena kepala air menyebabkan rumah saya dipenuhi selut," katanya.