Najib ahli Parlimen pertama keluar dari Istana Negara

Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
Kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Istana Negara. - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Selepas hampir sejam memasuki Istana Negara melalui pintu 2, kenderaan yang membawa ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar melalui pintu sama sebentar tadi.

Najib yang juga bekas Perdana Menteri itu merupakan ahli Parlimen pertama yang keluar daripada Istana Negara pada jam 11.30 pagi selepas dipercayai menghadapYang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Beliau yang menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam sempat melambaikan tangan sambil tersenyum kepada petugas media yang menanti di Pintu 2, Istana Negara.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan ahli-ahli Parlimen daripada GPS, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dijangka ke Istana Negara pada jam 10 pagi pada Khamis.

Difahamkan kehadiran ahli-ahli Parlimen pro-PN itu untuk mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

Sesi menghadap ahli-ahli Parlimen itu dijadualkan berlangsung dalam lima sesi berasingan mengikut parti masing-masing.

Jam 4 petang pada Rabu merupakan tempoh terakhir untuk semua ahli Dewan Rakyat menghantar SD nama calon Perdana Menteri pilihan mereka secara rasmi.

Ia selepas notis dikeluarkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada Selasa agar kesemua ahli Dewan Rakyat mengemukakan surat akuan berkenaan secara bertulis dan disahkan benar.

Artikel Berkaitan: