[VIDEO] Pejuang selesa jadi 'third force', tapi sedia sokong Anwar

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) lebih cenderung menjadi 'third force' dan tidak berminat menyertai kerajaan yang bakal dibentuk dengan menyifatkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak menarik.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang mengambil pendekatan mengasingkan diri daripada persaingan antara PN dan PH untuk memperoleh sokongan ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim jika berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.

“Kita pihak ‘third force’ tak terikat dengan mana-mana pihak. Kalau Anwar jadi Perdana Menteri kita sokonglah,” jelasnya dalam Program Ruang Bicara yang disiarkan secara langsung di Bernama TV pada malam Rabu.

Ahli Parlimen itu turut menambah, beliau tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Anwar walaupun hubungan mereka tidak begitu baik.

“Yang jadi masalah adalah dia tidak mahu bekerjasama dengan saya, dia kata saya tak suka kepada dia,” jelasnya.

Persaingan untuk menjadi Perdana Menteri kini terarah kepada dua tokoh sahaja iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, pada Khamis dilaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memanggil ahli-ahli Parlimen menghadap Baginda di Istana Negara.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, ia melibatkan ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.