Jangan jadikan kerajaan baharu kerajaan proksi: Mohd Puad

Catatan Mohd Puad di Facebook beliau pada Rabu.
Catatan Mohd Puad di Facebook beliau pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menolak sebarang cadangan untuk mewujudkan jawatan menteri mentor sekiranya kerajaan perpaduan dibentuk nanti.

Beliau berkata, perkara itu harus dielakkan supaya kerajaan baharu tidak menjadi Perikatan Nasional (PN) 2.0.

Menurutnya, ia bagi membolehkan kerajaan itu benar-benar baharu dan bersifat perpaduan dalam erti kata yang sebenar seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Tuanku menitahkan supaya Perdana Menteri baharu membentuk kerajaan perpaduan. Tujuannya untuk mengurangkan politiking.

"Semua parti dipertanggungjawabkan dan akan dilibatkan. Maka, jangan jadikan kerajaan baharu ini kerajaan proksi.

"Ada tangan tangan ghaib di belakangnya. Tak payahlah cadangan menteri mentor itu," katanya menerusi catatan di Facebook beliau pada Rabu.

Kenyataan Mohd Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu dipercayai merujuk kepada cadangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Eddin Syazlee Shith supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai menteri mentor.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, Eddin Syazlee berkata, cadangan untuk melantik Muhyiddin yang juga Perdana Menteri sementara itu dibuat sekiranya pembentukan kerajaan baharu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda nanti.

Artikel Berkaitan: