Forum Piala Menteri Besar Perak martabatkan bahasa Melayu

Dr Yahya Osman
Dr Yahya Osman
A
A
A

IPOH - Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh akan menganjurkan Pertandingan Forum Piala Menteri Besar Perak Peringkat Kebangsaan kali ke-11 dalam usaha meningkatkan penguasaan dan keupayaan berbahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Pengarahnya, Dr Yahya Osman berkata, pertandingan bertemakan 'Kebitaraan Bahasa Melayu Pemangkin Peradaban Dunia' akan mengumpulkan pelajar dari seluruh negara.

Menurut beliau, pertandingan itu bertujuan untuk menggilap bakat generasi muda dalam melaksanakan suatu wawancara bersifat informatif tambahan elemen kreatif dan kritis dalam menyampaikan maklumat.

"Ia juga sejajar dengan saranan kerajaan yang ingin melahirkan guru yang cemerlang dan terbaik dalam menghadapi dunia yang kian mencabar," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Yahya berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar berkumpul untuk berdiskusi bagi meningkatkan penguasaan dan keupayaan dalam bahasa Melayu.

"Objektif pertandingan adalah untuk memantapkan jati diri pelajar, meningkatkan jalinan kerjasama dengan pihak luar dalam penerokaan ilmu bagi menghadapi cabaran globalisasi.

"Selain itu, ia meningkatkan pemahaman dan kesedaran mahasiswa berkaitan elemen-elemen forum dalam perbincangan akademik serta menyediakan landasan kepada mahasiswa yang kompeten dan memiliki kemahiran abad ke-21," katanya.

Menurut Yahya, format pertandingan itu telah dipaternkan IPG dan disahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel Berkaitan:

"Penyertaan masih terbuka kepada IPG kampus, universiti awam dan swasta seluruh negara dengan yuran penyertaan RM100.

"Pertandingan diadakan secara dalam talian pada peringkat saringan yang berlangsung pada 27 hingga 29 September dan peringkat akhir pada 6 Oktober ini dicadangkan diadakan secara bersemuka mengikut keadaan semasa," katanya.

Katanya, lebih 30 pasukan dijangka menyertai pertandingan ini untuk merebut piala pusingan, wang tunai RM1,700, sijil penyertaan dan hadiah individu untuk johan.