Mendiang LUK Nesly selamat disemadikan

Anggota TUDM semasa menyempurnakan pengebumian mendiang LUK Nesly anak Nabau di Taman Peringatan Nirvana hari ini. Foto Bernama
Anggota TUDM semasa menyempurnakan pengebumian mendiang LUK Nesly anak Nabau di Taman Peringatan Nirvana hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SIBU - Jasad Laskar Udara Kanan (LUK) Nesly Nabau, 27, yang maut dalam insiden tembak di Kem TUDM, Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu telah selamat disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di sini pada Rabu.

Pengebumian tersebut yang diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan Covid-19 telah dihadiri kaum keluarga terdekat mendiang termasuk balunya Jessica Clestur dan Komander Pangkalan TUDM Kuching, Kolonel Mohd Azuan Bohari.

Sebelum itu, kenderaan membawa keranda mendiang dari kampung isterinya di Rumah Ugil, Sungai Selangan, Sarikei tiba di taman peringatan itu pada jam 8.50 pagi dengan diiringi pegawai dan anggota TUDM dalam suasana hujan renyai-renyai.

Mohd Azuan kemudian menyerahkan Jalur Gemilang kepada Jessica, pada penghujung istiadat pengebumian itu.

Mendiang Nesly adalah antara empat anggota TUDM yang terkorban dalam insiden tembak pada 7.15 pagi Jumaat (13 Ogos) di Unit TUDM di Kota Samarahan, Kuching.

Turut terkorban dalam insiden itu ialah Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Koperal Udara Ho Swee Boon dan Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli. - Bernama

Artikel Berkaitan: